
LAWAS: Keserasian hidup dalam masyarakat majmuk Sarawak perlu dipelihara demi memastikan keharmonian dan perpaduan yang kekal utuh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menegaskan bahawa amalan saling menghormati perbezaan budaya, adat, dan agama adalah kunci kepada kekuatan perpaduan kaum yang membantu memajukan negeri ini.
“Walaupun kita berbeza latar belakang, kita hidup dalam semangat harmoni dan saling menghormati seolah-olah satu keluarga besar,” katanya ketika menghadiri majlis Ngiling Tikai sempena Gawai Dayak di Rumah Panjang Meragang, Lawas, malam tadi.
Beliau turut menggesa komuniti Iban di Lawas untuk terus memajukan diri melalui pendidikan dan kemahiran bagi keluar dari kemiskinan dengan merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Majlis tersebut diakhiri dengan acara tradisional menebang pokok ranyai dan mengelilingi rumah panjang yang mempunyai 16 pintu itu.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong serta pemimpin tempatan dan kenamaan lain.
Oleh Adeng Edrus