Oleh: Lokman Hakim
APABILA disuguhkan cerpen “Seragam Syawal” ini, perkara pertama yang saya ketemukan ialah sebuah kekemasan dan keseragaman pada setiap elemen yang patut ada dalam sebuah cerpen yang baik.
Ia tidak klise, punya persoalan pertentangan patriarki-feminisme yang segar, tragedi yang menusuk kalbu dan tidak kedengaran dibuat-buat. Dalam erti kata lain, Awang Alfizan sudah menemukan kekuatannya selaku cerpenis untuk cerpen ini. Selain penggunaan perkataan yang kurang tepat konteksnya yang kelihatannya berulang sepertimana cerpennya yang sebelumnya, ia tetap sebuah cerpen yang tidak terletak pada garis cerpen-cerpen bertemakan perayaan yang bermain dengan nostalgia yang terlalu peribadi hingga tidak mendatangkan kesan pada pembaca.
Cerpen dimulakan dengan babak kedai tukang jahit yang diberi tugas menjahit pakaian seragam sekolah cucu kepada watak utama, Nenek Ton (tidak dizahirkan nama penuhnya). Sebermula dialog di kedai tukang jahit ini, pembaca sudah disuguhkan dengan elemen “show-don’t-tell”. Pembaca diberi tanda tanya tentang kesungguhan dan konsistensi watak utama, Nenek Ton, melakukan perbuatan luar norma, iaitu dia meminta tukang jahit menyediakan seragam sekolah menengah untuk cucunya setiap kali Syawal menjelang.
Pembaca kemudian disuguhkan pula dengan pembinaan karakter yang berkesan dan padat meskipun terbatas dengan struktur cerpen yang ringkas. Watak Nenek Ton ialah sebuah watak konservatif, egois dan mendukung semangat patriarki meskipun dalam masa sama, Nenek Ton ialah watak seorang wanita yang dibina atas pengalaman pahit kendiri mendepani kedegilan anak perempuan yang ditanggapi selaku seorang yang gagal dalam hidup.
Watak Nenek Ton diiringi pula dengan pembinaan watak Anita, yakni cucu kepada Nenek Ton yang jelas sekali mengikuti jejak langkah si ibu (anak perempuan yang gagal dalam hidup), tetapi punya pendirian teguh meskipun mendepani cabaran demi cabaran yang dihadirkan akibat ketidakpedulian Nenek Ton terhadapnya.
Demi mengukuhkan lagi peranan watak Anita, watak Anis selaku adiknya turut dipertontonkan sebagai suatu perlawanan atas sikap Nenek Ton yang jelas sekali menolak sebarang usaha untuk wanita mengubah masa hadapannya.
Naratif itu ditamatkan dengan konflik yang tidak begitu dipaksa-paksakan kejadiannya. Kedua-dua cucunya, Anita dan juga Anis, terkorban dalam nahas kemalangan jalan raya. Dapatlah dilihat bagaimana pengarang menyusun impak kematian kedua-dua cucu Nenek Ton ini terhadap prinsip hidup wanita berusia itu secara psikologinya yang menghampiri ketidakwarasan.
Oleh yang demikian, meski cerpen “Seragam Syawal” terlihat kemas dan seragam penceritaannya dengan pemerengganan yang berkesan, masih juga terdapat ruang untuk pembaikan yang pengarang boleh terokai demi menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja mendukung cerita yang baik tetapi juga mempunyai nilai estetik sebuah karya sastera.
Pertama sekali, saya ingin mengingatkan pengarang agar berwaspada dengan sudut pandang penceritaan. Apabila kita memilih untuk menulis dari sudut pandangan pertama, yakni dari perspektif watak utama, kita tidak lagi boleh menggarap setiap perlakuan dan pemikiran watak utama selaku suatu kejanggalan.
“Dalam perasaan teruja, aku membelek-belek baju kurung putih dan berkain biru muda itu.”
“Bedah yang sudah terbiasa dengan tingkah anehku itu hanya mampu menggelengkan kepala.”
Dua ayat ini bermasalah kerana ia ditulis dari sudut pandang pertama. “Teruja” bukanlah suatu perbuatan yang kita dapat kenalpasti sendiri. Kita tidak menanggapi diri sendiri selaku teruja tetapi kita tahu seseorang itu teruja atau tidak melalui pemerhatian kita.
Apabila seseorang itu mengatakan dirinya “Saya teruja” sedangkan wajahnya tampak tenang tanpa bahasa tubuh yang menyokong reaksi teruja tersebut, ia suatu ungkapan yang tidak sebenar-benarnya menggambarkan apa yang dia rasa, tetapi ia tetap diperkatakan demi memberi bayangan “teruja” pada orang yang mendengarnya.
Pengarang harus meletakkan dirinya ke dalam karakter yang ditulis secara lebih mendalam dan menggunakan daya taakul tinggi mengiringi imaginasi. Justeru, apabila menulis dari sudut pandangan watak utama yang punya masalah psikologi, pengarang harus lebih cermat mengadun perspektifnya.
Itulah yang tertera pada ayat kedua yang saya maksudkan, agak janggal apabila watak sendiri mengakui tindakannya itu aneh. Sepertimana yang kita lazimnya tahu yang orang gila tidak akan mengakui dirinya sendiri gila. Mengatakan diri sendiri itu aneh hakikatnya suatu perkara yang aneh. Keanehan seseorang itu lazimnya dikesan dan dinilai oleh orang lain dan bukannya diri sendiri.
Saya akui, pengarang sudah berusaha untuk meletakkan kakinya ke dalam kasut peribadi individu yang berbeza perwatakan, usia dan jantina dengan identiti pengarang sendiri. Ia perbuatan sukar yang bukan semua pengarang mahu lakukan, melainkan dia begitu akrab dengan individu-individu tertentu sehingga dia boleh membayangkan dirinya selaku individu-individu tersebut. Apa yang jelas, pengarang punya kecenderungan untuk memilih jalan sukar menulis cerpen meskipun tidak menguasai teknik mengenakan sudut pandang pertama daripada individu yang berbeza sama sekali peribadinya berbanding pengarang. Barangkali pengarang punya alasan yang tersendiri untuk memilih kaedah mengarang sedemikian rupa.
Kecenderungan pengarang memilih perkataan “merawat” untuk perkara yang tidak sepatutnya juga membuatkan saya tertanya-tanya, mengapakah perkataan ini seringkali digunapakai oleh pengarang?
“Sebagai wakil penjaga semenjak ibu Anita dan Anis pergi menitipkan mereka kepadaku, aku harus kembali memainkan peranan orang tua dalam merawat mereka.”
“Mahu atau tidak, aku tetap bersetuju untuk merawat mereka kerana aku sudah tidak memiliki sesiapa lagi.”
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “merawat” merujuk kepada perbuatan memelihara, menyelenggarakan, membela, menjaga (orang sakit dan lain-lain) dengan memberi ubat dan sebagainya. Bertitik tolak dari sini kita sudah dapat lihat bahawa meskipun perbuatan merawat disinonimkan dengan perbuatan memelihara, ia lebih menjurus kepada perbuatan menjaga orang yang kurang sihat.
Tambahan pula, jika benarlah perkataan “merawat” ini tepat penggunaannya dalam kedua-dua ayat pengarang di atas, saya ingin mengajak pengarang untuk menelusuri penggunaan perkataan “merawat” ini dalam kebanyakan karya-karya sastera pengarang mapan berbahasa Melayu. Kita harus memahami apakah kelaziman gaya bahasa yang diterima pakai kelompok besar pembaca jika kita ingin karya-karya kita diterima dengan baik. Dan usaha memahamkan kelaziman gaya bahasa itu, khususnya kecenderungan pemilihan perkataan untuk menggambarkan sesuatu perbuatan menuntut pembacaan yang banyak dan pelbagai.
Hal ini membuatkan saya kembali memikirkan, bagaimanakah sebuah cerpen yang kemas dan seragam pada segala aspek yang membentuk cerpen yang baik ini masih terlihat sedikit pincang? Saya mula memahaminya kerana aspek gaya bahasa. Melihat perkembangan pengarang dalam menulis cerpen demi cerpen yang semakin baik dari semasa ke semasa, saya percaya pengarang akan menemukan suara pengarangnya sendiri suatu masa kelak.
Bagaimana pengarang boleh menemukan gaya bahasa dan suaranya sendiri? Saya percaya ia bergantung pada pembacaan rencam dan penulisan berterusan. Ia diselangi juga dengan perbuatan berfikir, iaitu persoalan-persoalan penting perihal kehidupan dilontar dan dijawab seiring dengan kematangan diri menempuhi kehidupan.
Kepadatan bahasa, merangkumi pemilihan perkataan yang tepat, pembinaan ayat yang optimum dan pembinaan struktur ayat yang memikat akan membawa penceritaan seumpama ini ke tahap seterusnya. Hal ini mengingatkan saya kepada cerpen Fatimah Busu yang berjudul “Nasinya Tumpah”. Ayat-ayatnya pendek tetapi cukup berkesan membawa emosi dan tragedi dari satu ayat ke ayat seterusnya. Untuk kesan dramatik dalam menggambarkan tragedi dalam sebuah cerpen, “Nasinya Tumpah” ialah contoh cerpen yang boleh dikaji golongan pengarang pemula.
Oleh yang demikian, suka untuk saya menghuraikan sebuah petikan daripada cerpen ini untuk direnung kembali kekurangan yang barangkali boleh diperbaiki lagi:
“Aku melihat cucu-cucuku itu sedang berdiri di tengah jalan dengan tatapan kosong memandang ke arahku. Meskipun sudah beberapa kali aku memanggil mereka untuk ke mari kerana takut jika ada kenderaan yang ingin melintas, mereka tetap tidak berganjak. Sehinggalah sebuah lori memandu laju ke arah mereka dan bahagian tubuh mereka habis bertaburan di atas jalanan akibat dilanggar. Aku yang menyaksikan kejadian itu secara langsung tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya bisa meraung meminta tolong.”
Babak ini menerangkan perihal tragedi yang menimpa cucu-cucu Nek Ton, melalui mimpi. Ia lengkap mengungkapkan apa yang terjadi terhadap cucu-cucu Nek Ton, tetapi masih dirasakan kontang emosi dan elemen dramatik. Barangkali dengan perincian sedikit akan menambah elemen dramatik yang hadir ke hati pembaca supaya impaknya lebih berkesan. Sebagai contoh:
“Aku melihat cucu-cucuku itu berdiri di tengah jalan. Renung mereka ke arahku, kosong. Meskipun sudah beberapa kali aku memanggil, mereka tetap tidak berganjak. Kenderaan bertali arus. Degup jantungku laju. Kaki mereka ibarat dipaku ke muka jalan. Suaraku juga tidak sampai. Rintihku bungkam. Sehinggalah sebuah lori merempuh laju. Jasad mereka berkecaian. Bertaburan di jalanan. Masih suaraku tidak sampai. Barangkali tidak akan sampai hingga bila-bila. Raunganku bergumam dalam dada, tidak keluar. Duniaku runtuh, berkeping-keping. Aku tidak mampu berbuat apa-apa.
Apa yang saya cuba gambarkan di sini Ialah kepadatan ayat dan rinci-rinci emosi dan kelakuan ketika mendepani situasi mendebarkan. Untuk menggambarkan sebuah konflik dengan berkesan, pengarang harus membayangkan babak-babak sarat konflik itu seperti babak-babak filem yang pantas, mendebarkan dan padat. Ibarat berada di kerusi pengarah dan menyusun sebuah lakonan yang memenuhi aspek kaca mata penonton. Cuma bezanya, pengarang harus pintar menggunakan kata-kata untuk membina babak dan kesan yang dikehendaki. Secara kesimpulannya, Awang Alfizan sudah punya kualiti yang wajar sebagai seorang cerpenis dan apa yang perlu dilakukan kini ialah gilapan demi gilapan supaya teknik penceritaan itu lebih menghadirkan kesan emosi yang dikehendaki. Tambahan pula, kecenderungan pengarang yang tampaknya menggemari genre realisme, tuntutan membina emosi dan gaya penceritaan yang berimpak tinggi itu amat penting demi menjaga kualiti penceritaan bermutu untuk sebuah karya realisme.