BEBERAPA hari lepas, penulis terlibat dengan perbincangan kumpulan fokus dengan pelbagai etnik di Sarawak. Perbincangan ini melibatkan pengumpulan pelbagai informan dari latar belakang atau pengalaman yang serupa untuk membincangkan topik tertentu yang menarik mengenai kesepaduan sosial.
Pertanyaan mengenai amalan atau perlakuan kesepaduan sosial di Sarawak yang merentasi etnik dan agama. Pertanyaan mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada perlakuan ini dikemukakan. Perbincangan kumpulan secara berfokus ini mampu menggali persepsi, sikap, keyakinan, pendirian, idea mahu pun pendapat ahli-ahli kumpulan perbincangan.
Dalam perbincangan tersebut, peserta bebas berbincang dengan ahli kumpulan yang dapat membuka pemahaman dan interaksi yang dinamik sesama mereka. Kumpulan ini terdiri daripada lima hingga 12 orang peserta. Terdapat beberapa aspek kesepaduan sosial dikenal pasti dalam perbincangan tersebut menarik untuk dikongsikan bersama pembaca.
Kebudayaan dan tradisi bersama
Sejarah budaya di Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang lebih menyerlahkan etnik Melayu, Cina dan India, manakala di Sarawak lebih kepada pelbagai etnik daripada Orang Ulu, Iban, Bidayuh, Melanau, Melayu dan Cina. Orang Ulu pula dapat dibahagikan kepada pelbagai sub-sub etnik.
Kepelbagaian ini membawa kepada interaksi dan integrasi yang lebih pelbagai. Dengan latar belakang budaya yang berbeza ini, mereka cuba memahami antara satu sama lain secara harmoni dan sama-sama berkongsi tradisi kebudayaaan melalaui perayaan bersama dan festival etnik.
Penggunaan bahasa Sarawak yang berasaskan bahasa Melayu Sarawak dan dialek tempatan sering digunakan sebagai bahasa komunikasi harian. Misalnya apabila orang Bidayuh dan Orang Cina berkomunikasi, bahasa perantaraan ialah bahasa Melayu Sarawak. Begitu juga ketika orang Melanau dengan Iban berkomunikasi harian, bahasa Melayu Sarawak atau dialek Melayu menjadi bahasa penghubung.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang pelik di Sarawak apabila orang Melayu memahami bahasa Iban atau orang Iban boleh bertutur dalam bahasa Cina. Perkara ini mampu merapatkan lagi interaksi dalam pergaulan harian.
UNIFOR
Peranan kerajaan penting bagi memupuk kesepaduan sosial. Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang dilihat sebagai cerminan kesungguhan untuk menghormati dan mempromosikan kerukunan dalam kehidupan beragama di Sarawak. Penubuhan ini dilihat mampu menyediakan kemudahan dialog dan pertemuan antara pelbagai agama bagi memahami pengertian toleransi dan persefahaman bersama. Ia juga dilihat untuk memperkuatkan hubungan antara masyarakat yang berbeza agama di Sarawak yang dapat membina kepercayaan, kasih sayang dan kerukunan beragama.
UNIFOR juga dilihat mampu menyediakan pendidikan dan pemahaman antara agama bagi mengelak sebarang ketidakfahaman, ketidakpuasan dan konflik. Hak beragama dihormati dan dilindungi secara positif. Kesemua ini membawa imej positif kepada usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan. Sebarang isu atau konflik dapat ditangani dengan baik dan damai tanpa melibatkan anasir-anasir yang boleh merosakkan masyarakat. Perkara-perkara inilah yang dikemukakan oleh peserta perbincangan fokus, baru-baru ini.
Politik inklusif
Rata-rata peserta kumpulan fokus mendapati bahawa politik di Sarawak bersifat inklusif yang bermakna tidak ada satu etnik pun yang dipinggirkan dalam pembangunan. Cara pembahagian bahagian di Sarawak jelas memperlihatkan strategi politik pembangunan, pemecahan bahagian menjadi lebih banyak dan hingga kini Sarawak mempunyai 12 bahagian.
Tujuan dibahagikan sedemikian adalah untuk memastikan tumpuan pembangunan akan dapat difokuskan dengan lebih baik. Ini selari dengan pembangunan semasa dan tidak dilakukan tanpa apa-apa perancangan pembangunan.
Dalam portfolio kabinet Sarawak juga, didapati setiap etnik diwakili dengan pelbagai peranan dan tanggungjawab, maka zon utara, tengah dan selatan dapat dimajukan dengan ada penglibatan daripada pelbagai etnik yang menganggotai kabinet Sarawak. Pada masa sama, diakui oleh peserta kumpulan fokus, iaitu tidak ada satu pun kumpulan etnik mampu membentuk kerajaan tanpa kerjasama daripada etnik-etnik lain di Sarawak. Ini bermakna perkongsian kuasa tersebut adalah sesuatu yang perlu dilangsungkan untuk memastikan sebuah kerajaan yang kuat.
Kahwin campur
Elemen penting dalam kesepaduan sosial ialah peranan keluarga besar melalui perkahwinan campur. Rata-rata peserta kumpulan fokus menyatakan bahawa kewujudan kahwin campur dapat menyumbang kepada kesepaduan sosial kerana ia membawa kepada pengukuhan hubungan antara etnik dan komuniti yang berbeza.
Apabila ini berlaku, ia mampu mengurangi stereotaip dan prasangka antara kelompok-kelompok. Aspek ini akan membawa kepada pembentukan keluarga yang toleransi dan rasa hormat kerana perkahwinan campur dapat membentuk pembentukan keluarga bertoleransi tinggi dan rasa hormat yang padu. Apabila dua tradisi atau budaya berbeza diikat dengan perkahwinan, ia dapat memupuk semangat muhibah.
Anak-anak mereka juga terdedah dengan percampuran, pemahaman dan dapat dilatih menghargai semangat kepelbagaian. Pada masa sama, campuran budaya melalui perkahwinan dapat belajar dua tradisi yang terbaik yang mampu memperkayakan warisan budaya dalam membentuk sebuah keluarga besar dan luas. Maka, tidak timbul isu ‘kafir-mengkafir’, memandang rendah kepada keluarga atau etnik lain apabila berlakunya persefahaman dalam kahwin campur.
Semua ini dapat memecahkan prasangka dan stereotaip yang sebelum ini boleh berlaku tanpa mengenali antara satu sama lain. Apabila kahwin campur berlaku, ini dapat membuktikan bahawa perbezaan budaya dan etnik bukanlah penghalang bagi sebuah hubungan yang bahagia dan harmonis.
Pasar Tamu
Peserta kumpulan fokus menyatakan bahawa pasar tamu memainkan peranan penting dalam memupuk kesepaduan sosial di Sarawak. Ini kerana pasar tamu tidak hanya menjadi tempat untuk membeli dan menjual barangan tempatan, tetapi juga menjadi pusat aktiviti sosial dan budaya di komuniti tempatan.
Pasar tamu sebagai tempat penduduk tempatan berkumpul untuk membeli barang-barang harian, bertemu dengan jiran tetangga, dan berinteraksi dengan pelanggan dan penjual lain. Ini mencipta peluang untuk berbual dan bertukar-tukar cerita, mempererat hubungan sosial antara penduduk tempatan dari pelbagai latar belakang etnik.
Pasar tamu memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka secara langsung kepada penduduk tempatan dan pelawat dan ini membantu memperkuat ekonomi tempatan dengan menyokong perniagaan tempatan serta mempromosikan pembangunan komuniti.
Apabila penduduk tempatan berasa bahawa mereka menyokong peniaga tempatan, ini juga meningkatkan rasa kesetiaan dan kesepaduan dalam komuniti. Di pasar tamu juga banyak menampilkan produk-produk tradisional tempatan, makanan tempatan dan ini memberi peluang kepada penduduk tempatan dan pelawat untuk meraikan keunikan budaya dan warisan Sarawak bersama-sama, mengukuhkan perasaan identiti kolektif dan kesepaduan.
Selain itu, pasar tamu juga dilihat sebagai pusat penyebaran informasi dan berita apabila penduduk tempatan berkongsi berita terkini, maklumat dan cerita. Ini termasuk cerita-cerita tentang peristiwa komuniti, perkembangan ekonomi, dan isu-isu sosial yang penting. Proses berkongsi maklumat ini membantu memperkuat hubungan antara penduduk setempat.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).