KESEPADUAN sosial adalah elemen penting dalam kehidupan masyarakat yang pelbagai etnik, budaya dan agama. Ia menggambarkan keharmonian, pemahaman dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat yang berbilang etnik. Bagi memahami realiti unik Sarawak, ia perlu memfokuskan aspek yang terdapat pada elemen dan faktor mempengaruhinya yang boleh menjadi petunjuk kesepaduan sosial.
Dalam pada itu, teori pembinaan model kesatuan sosial adalah pendekatan yang digunakan untuk mengkaji dan memahami bagaimana masyarakat dan kelompok-kelompok dalam masyarakat membentuk identiti sosial mereka, berinteraksi satu sama lain dan memelihara hubungan dalam kesatuan sosial.
Dalam teori ini, terdapat beberapa konsep penting yang membentuk landasan bagi pemahaman kesatuan sosial dan antaranya adalah kekitaan, persamaan, keterhubungan dan keterbukaan.
Rasa kekitaan dan persamaan
Rasa kekitaan merujuk kepada bagaimana individu atau kelompok mengenal pasti diri mereka dan berasa sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar. Kekuatan kekitaan adalah dalam kemampuan untuk membentuk identiti kuat dan positif yang memperkukuhkan perasaan identiti individu atau kelompok dalam masyarakat.
Apabila rasa kekitaan yang kuat dan positif boleh meningkatkan kebanggaan, keyakinan diri dan kesejahteraan individu atau kelompok. Pemilihan untuk memfokuskan pada kekitaan yang positif dan membangunkannya boleh memotivasikan individu atau kelompok untuk menyumbang kepada kesatuan sosial dengan lebih aktif.
Aspek persamaan (equality) merujuk kepada prinsip bahawa semua individu dalam masyarakat mempunyai hak yang sama dan layak diperlakukan secara adil. Ini mencerminkan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan. Apabila memperjuangkan persamaan dalam masyarakat adalah penting untuk menjaga keseimbangan dan keharmonian sosial. Pemilihan sikap ini dapat menghasilkan masyarakat yang lebih inklusif dan adil, yang mana individu rasa dihormati dan diberi peluang yang sama.
Keterhubungan dan keterbukaan
Situasi keterhubungan (Interconnectedness) merujuk kepada pemahaman bahawa individu dan kelompok dalam masyarakat saling berkaitan dan memengaruhi satu sama lain. Tidak ada entiti yang beroperasi secara terpisah dalam masyarakat.
Wujudnya pemahaman tentang keterhubungan membantu masyarakat untuk bekerjasama dalam mencapai matlamat bersama. Ini juga dapat menggalakkan kerjasama dan pemahaman antara kelompok-kelompok yang berbeza dalam masyarakat.
Sikap keterbukaan merujuk kepada sikap masyarakat yang terbuka terhadap idea-idea baru, budaya-budaya asing, dan perubahan. Ini dapat merangsang inovasi, pertumbuhan dan pembangunan. Aspek ini penting untuk menjadi masyarakat yang terbuka agar dapat memperkukuhkan kesatuan sosial dengan membolehkan pertukaran idea dan budaya serta mengurangkan konflik dan ketegangan sosial.
Penyertaan dan pengiktirafan
Kesepaduan sosial di Sarawak dilihat melibatkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam proses sosial, politik dan ekonomi. Indikator penyertaan termasuk penglibatan dalam kerja-kerja sukarela, keahlian dalam pertubuhan sosial dan perwakilan politik yang adil. Rakyat pelbagai kaum di Sarawak begitu aktif dalam penyertaaan ini meskipun dalam konteks ekonomi, situasi ini masih belum diterokai sepenuhnya khususnya kalangan Bumiputera.
Pengiktirafan aspek budaya benda etnik seperti pua kumbu, manik, baruk, kek lapis selain amalan dan pemugaran bahasa sukuan dan menghormati agama anutan masing-masing oleh kerajaan dan masyarakat adalah penting untuk membina kesepaduan.
Petunjuknya termasuklah perlindungan terhadap warisan budaya dan pengiktirafan bahasa minoriti di Sarawak. Contohnya, Gawai Dayak dan festival etnik lain sering mendapat sokongan kerajaan, yang membantu mengukuhkan perasaan pengiktirafan etnik-etnik ini dalam komuniti Sarawak
Legitimasi dan jarak sosial
Dalam soal legitimasi, kepercayaan masyarakat Sarawak kepada institusi kerajaan tempatan adalah penting dalam kesepaduan sosial. Mereka menganggap institusi ini adil, berwibawa dan mampu memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat, yang diyakini meningkatkan rasa kesetiaan dan kesepaduan dalam masyarakat. Pemahaman bahawa Sarawak mempunyai politik autonomi mampu dampak dan tanggungjawab mereka terhadap isu-isu tempatan, yang boleh mengukuhkan kesepaduan sosial.
Jarak sosial dapat mengurangkan jarak sosial antara etnik dan agama dapat mempromosikan hubungan yang lebih rapat. Indikatornya termasuk persahabatan, perkahwinan rentas etnik, persaudaraan dan kerjasama dalam kejiranan. Perkahwinan rentas etnik misalnya Melayu dengan Iban, Cina, Bidayuh, Orang Ulu atau sebaliknya adalah suatu fenomena biasa dan diterima umum dan ini mengukuhkan kesepaduan antara etnik.
Persahabatan antara etnik mampu membina hubungan persaudaraan dan mengurangkan jarak sosial antara etnik. Aspek ini diperkuatkan lagi dengan banyak acara kebudayaan dan acara sosial yang dihadiri oleh pelbagai etnik di Sarawak. Ini termasuk festival, pameran seni dan pertunjukan budaya. Keterlibatan dan penglibatan bersama dalam acara-acara ini membantu mengurangkan jarak sosial.
Jarak sosial, teknologi dan kesepaduan sosial
Teknologi mulai memainkan peranan penting dalam merapatkan jarak sosial. Meskipun sejarah ikatan kesepaduan sosial etnik di Sarawak sudah lama bermula berdasarkan sejarah kebudayaan, sejarah penempatan, sejarah asal usul dan serumpun sudah ada dan menunjukkan persamaan dalam kepelbagaian, namun hakikatnya hubungan masih berlangsung secara evolusi. Namun apabila tibanya modenisasi dan teknologi semakin canggih, ia membantu merapatkan hubungan keluarga dan etnik.
Misalnya, mereka yang berjauhan bekerja di pelantar laut, di perantauan luar negara, mahupun di wilayah lain, mereka dihubungkan dengan teknologi yang lebih pantas seperti menggunakan panggilan video melalui WhatsApp. Ia berlaku bukan sahaja berkisar dalam sebuah keluarga, ia boleh berlaku dalam komuniti yang lebih besar seperti komuniti kejiranan, bahagian dan wilayah.
Di sebaliknya teknologi dikatakan boleh menjurangkan hubungan, ia juga boleh berperanan sebagai penghubung kepada jarak sosial. Misalnya antara Bario dengan Kuching dan Miri jurang dan jarang sosial mampu dirapatkan.
Apabila teknologi mulai berkembang dan peluang etnik Sarawak untuk mendapatkan maklumat, data, pengalaman dan interaksi melalui teknologi dalam bentuk media sosial, Facebook, Youtube, portal. Semakin terdedah dengan akses ini maka semakin rapat jarak sosial dan jurang sosial boleh dirapatkan dengan pemanfaatan teknologi.
Misalnya, bagi memahami upacara ritual kaul, pemahaman mengenai perayaan Gawai Dayak, memahami konsep bermukun orang Melayu Sarawak,memahami fungsi baruk dan tafsiran budaya mengenainya dan kaitan dengan memahami pandangan hidup Bidayuh, kesemuanya ini boleh diperoleh melalui akses jurnal akademik di portal, melayari portal etnik atau kebudayaan, akses portal kementerian kebudayaan pelancongan mengakses laman Lembaga Pelancongan Sarawak.
Pengalaman menghadiri acara Kaul tidak semestinya dilakukan secara fizikal, akan tetapi boleh ditonton melalui saluran Youtube. Ternyata faktor teknologi mampu merapatkan jurang sosial. Malah ia mampu memberikan pencerahan budaya dan sosial, pengalaman ā3Dā (tiga dimensi) juga boleh diperoleh daripada akses seumpama ini. Ternyata, peranan teknologi dapat merapatkan hubungan keluarga budaya yang sudah lama terhakis dan mengeratkan hubungan antara etnik yang terpisah secara geografi.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).