KESEPADUAN sosial merujuk kepada kekuatan perhubungan dan rasa kebersamaan kalangan kelompok masyarakat. Salah satu petunjuk kesepaduan sosial ialah aspek modal sosial yang ada dikongsi bersama sumber yang ada dalam sesebuah kelompok tersebut termasuk berkongsi maklumat, pengetahuan dan rasa terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam kelompok masyarakat itu.
Modal sosial diperoleh indvidu juga terhasil daripada jaringan sosial yang merupakan jaringan interaksi perhubungan yang tercetus. Aspek jaringan sosial merupakan sumber kepada kepelbagaian bentuk sokongan emosi termasuk galakan hingga kepada sokongan secara instrumental iaitu tindakan bersepadu bagi membantu menanganinya secara lebih konkrit.
Hakikatnya, kesepaduan sosial ialah suatu proses berterusan dan bukan hanya hasil pada suatu tempoh tertentu sahaja. Justeru, ia perlu didukung, digerakkan bersama, dirancang bersama dan mempunyai hala tuju dan dibentuk masa depan secara bersama.
Projek kesepaduan sosial ini tidak boleh dilihat atau diukur dalam jangka masa singkat, sebaliknya perlu pemupukan daripada pelbagai ejen sosial masyarakat. Ia juga pelru melibatkan kesejahteraan hidup yang mencakupi aspek emosi dan fizikal dalam kehidupan masyarakat.
Berdasarkan situasi itu, ia memerlukan perubahan, komitmen bagi membina dan mengukuhkan rasa kesamaan termasuk dasar ekonomi yang lebih manusiawi, ihsan dalam memastikan tidak ada ‘mati rasa’ kalangan pemerintah atau institusi yang menunjangi kerajaan.
Pemahaman kesepaduan sosial
Sejak awal abad ke-18, Emile Durkheim mentakrifkan kesepaduan sosial sebagai ciri masyarakat yang menunjukkan saling kebergantungan di antara individu masyarakat tersebut dan untuk menjadi siling kepada kesepaduan sosial maka, ia perlu memenuhi dua perkara, iaitu ketiadaan konflik sosial terpendam misalnya konflik soal kekayaan yang mencetuskan jurang ekonomi yang memisahkan masyarakat.
Tidak ada pula konflik etnik, gender dan bangsa. Seterusnya menurut Durkheim ialah wujudnya kehadiran ikatan sosial kukuh yang didukung oleh masyarakat sivil, demokrasi sihat dan sistem undang-undang adil dan saksama. Sudah tentu, sukar untuk mencapai sifar konflik seperti konflik etnik terpendam kerana setiap ahli masyarakat mempunyai imaginasi, persepsi terhadap etnik mereka sendiri dan etnik lain.
Judith Maxwell (1996:13) mendefinisikan ‘kepaduan sosial melibatkan pembinaan nilai bersama dan komuniti tafsiran, mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan, dan secara amnya membolehkan orang ramai merasakan bahawa mereka terlibat dalam projek yang kompleks secara bersama, menghadapi cabaran bersama, dan bahawa mereka adalah ahli komuniti yang sama.’
Dengan kata lain, ia perlu campur tangan dasar sosial, peranan institusi, kelompok dalam masyarat untuk mewujudkan nilai dan matlamat bersama dan menangani isu ketaksamaan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Ia juga proses berterusan bagi membina kesepaduan yang perkongsian nilai, cabaran dan peluang yang sama berdasarkan kepercayaan dan harapan seluruh masyarakat.
Majlis dasar sosial
Majlis Dasar Sosial Eropah masih menggunakan definisi dan ciri yang menegaskan perlu obligasi, persetujuan, kesetiaan dan kesepaduan timbal balik sifatnya. Yang kedua perlu ada kekuatan hubungan sosial dan nilai bersama. Ketiga, mempunyai rasa kekitaan yang teguh. Yang keempat ialah wujudnya kepercayaan kalangan individu masyarakat dan kelima ialah berlakunya pengurangan ketidaksamaan dan peminggiran.
Kesemua aspek ini dijadikan teras definisi dan konsep kesepaduan sosial digunakan oleh Majlis Sosial Eropah masih menggunakan definisi ini sehingga hari ini.
Berdasarkan perbincangan dan konsep awal ini, dapat dirumuskan bahawa kesepaduan sosial ialah sebuah projek negara yang perlu dibina, dipupuk dan mempunyai agenda serta hala tuju yang lebih jelas.
Aspek ini juga mempertumbangkan sejarah budaya, tradisi dan dinamika setempat yang berlaku ketika itu. Sudah pasti melibatkan nilai bersama dan tafsiran yang beracuan tempatan, mewujudkan rasa kekitaan, menggalakkan rasa kepercayaan antara satu sama lain, komitmen ahli masyarakat untuk bekerjasama antara satu sama lain untuk hidup bersama dan makmur bersama.
Proses menjana kesepaduan sosial perlu dilihat sebagai projek bersama rakyat, atau projek rakyat dan negara. Perkara ini memerlukan perancangan bersama, diberikan definisi dan konsep berdasarkan dasar dan kemahuan sesebuah negara. Inilah akan menjadi penanda bentuk kesepaduan sosial idaman sesebuah negara.
Keluasan kesepaduan sosial
Kesepaduan sosial sebenarnya sangat luas dan merentasi pelbagai bidang kehidupan awam seperti ekonomi, politik, dan sosiobudaya. Aspek ini termasuk peranan individu dan institusi negara yang memerlukan penegasan terhadap aspek nilai bersama, dan peranan modal sosial dan anggota serta gerakan sivil bagi memupuk perpaduan.
Bagi sekiranya perlu ukuran nilai maka, ia perlu diukur dalam konteks aspek kepunyaan, nilai, kesaksamaan sosial, penyertaan, penerimaan dan penolakan bagi memahami sikap awal terhadap kesepaduan sosial sebagaimana pernah dilakukan di negara Australia.
Penerapan dasar
Sudah pasti inisiatif seperti Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Kebangsaan adalah antara projek yang sedia ada dan ini perlu dilakukan dengan lebih kreatif dan inovatif bagi pengisiannya agar dapat menarik generasi muda untuk sama-sama dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Misalnya, kempen kesepaduan sosial dengan penyertaan anak-anak muda atau generasi baharu di media sosial dengan dukungan pihak industri dan kerajaan mampu memberikan impak sinergi yang berkesan.
Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) misalnya adalah inisiatif dan manifestasi kerajaan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan agama lain di Sarawak. Ia sebenarnya menjadi ejen keharmonian agama dan kesepaduan sosial.
Perlu juga ada usaha untuk mencegah dan membasmi bibit-bibit keganasan yang boleh memecahkan kesepaduan sosial seperti tindak-tanduk menghasut, unsur subversif, dan pihak yang menggunakan agama, etnik dan institusi raja dipolitikkan untuk meraih simpati dan sokongan bagi kepentingan politik. Sekiranya anasir ini tidak dibasmi, selagi itulah, ia akan menjadi penghalang kepada kesepaduan sosial berjalan secara harmoni. Perpaduan sosial juga akan terus tergugat dan tidak menentu kalangan etnik di negara ini sekiranya anasir ini terus berlaku dalam masyarakat.
Kesediaan ahli masyarakat untuk bekerjasama antara satu sama lain untuk terus hidup bersama dan memastikan keharmonian tidak tergugat oleh sebarang anasir propaganda, dakyah politik sempit dan dangkal adalah antara ramuan penting bagi pengukuh kesepaduan sosial yang memerlukan komitmen secara emosional, rasional dan rasa tanggungjawab yang besar terhadap negara.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).