BRIGHTON: Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester City yang dibelenggu kecederaan tidak mampu bersaing selama 90 minit selepas kekalahan mengejut 1-2 kepada Brighton yang menyaksikan pengurus Sepanyol itu mengalami empat kekalahan berturut-turut buat kali pertama dalam karier pengurusannya.
Dengan hanya berbaki 12 minit di Stadium Amex, pasukan Guardiola masih bergantung kepada kelebihan yang diberikan oleh Erling Haaland pada separuh masa pertama.
Namun, pertahanan juara Liga Perdana Inggeris dicerobohi di akhir perlawanan apabila Joao Pedro menyamakan kedudukan sebelum Matt O’Riley menjaringkan gol kemenangan Brighton tujuh minit sebelum perlawanan tamat.
Buat pertama kalinya dalam karier cemerlangnya sebagai pengurus di City, Bayern Munich dan Barcelona, Guardiola kini kalah empat kali berturut-turut.
“Hari ini kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama tetapi kami tidak dapat mengakhiri perlawanan dengan kemenangan.
“Kami tidak konsisten untuk mengekalkan permainan dan intensiti kami, serta menekan dan bermain agresif selama 90 minit.
“Tahap permainan kami sangat baik pada beberapa ketika tetapi kami tidak dapat meneruskannya untuk tempoh yang lama.
“Saya cukup yakin apabila pemain-pemain kembali (selepas rehat antarabangsa) dan kami akan memperbaiki kualiti individu dalam pasukan, kami akan kembali,” kata Guardiola.
Selepas tersingkir dari Piala Liga kepada Tottenham dan mengalami kekalahan pertama dalam liga sejak Disember di tangan Bournemouth, City dibelasah 4-1 oleh Sporting Lisbon dalam Liga Juara-Juara minggu ini.
Kemerosotan itu berterusan dan mereka gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan menentang Brighton dan kekalahan itu mengancam usaha mereka merebut gelaran Liga Perdana yang kelima berturut-turut. – AFP