
JAKARTA: Kesemua mayat mangsa nahas pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) telah ditemukan hari ini, selepas hampir seminggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di lereng Bukit Bulusaraung, Sulawesi Selatan.
Ketua Operasi Pejabat Basarnas Makassar Andi Sultan mengesahkan pada sidang media bahawa mayat terakhir dijumpai pada 9.16 pagi waktu tempatan, menjadikan keseluruhan 10 mayat.
Pesawat didaftarkan sebagai PK-THT itu membawa tujuh anak kapal dan tiga penumpang apabila terputus hubungan dengan kawalan trafik udara sekitar tengah hari pada 17 Januari semasa dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar, merentasi Daerah Maros.
Operasi SAR dilancarkan sejurus selepas itu. Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia (KKP) telah mengesahkan bahawa pesawat yang hilang merupakan pesawat peronda miliknya.
Pada Khamis, media melaporkan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Soerjanto Tjahjono telah menerima kotak hitam dipercayai milik pesawat malang berkenaan daripada pasukan SAR.
Beliau berkata jawatankuasa itu memerlukan satu hingga dua minggu untuk menjalankan siasatan sebaik sahaja kotak hitam tersebut dibawa ke makmal.
Setakat ini, dua mangsa telah dikenal pasti iaitu kru kabin Florencia Lolita dan pegawai di bahagian pengurusan aset KKP wilayah Deden Maulana. – Bernama