
DEBAK: Keselamatan sesebuah kawasan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu pasukan polis semata-mata, sebaliknya ia menuntut tanggungjawab bersama serta komitmen jitu daripada seluruh anggota masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata konsep ‘Kepolisan Komuniti’ menjadi pendekatan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara polis dan masyarakat untuk mencegah serta menangani masalah jenayah dan isu keselamatan setempat.
Beliau berkata melalui kerjasama yang erat, perkongsian maklumat serta sikap saling prihatin dalam kalangan penduduk, peluang berlakunya jenayah dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Konsep ‘Kepolisan Komuniti’ membuktikan bahawa pihak polis bukan sahaja berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang, malah sentiasa mendekati masyarakat bagi membina hubungan yang kukuh demi keselamatan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Community Policing: “Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami” di Dewan Perpaduan Debak hari ini.
Menurut beliau, masyarakat yang peka terhadap persekitaran, mengenali jiran tetangga serta berani menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa merupakan aset penting dalam usaha mencegah jenayah dan membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan.
“Komuniti yang sejahtera bukan sahaja bebas daripada jenayah, malah memiliki semangat perpaduan, saling menghormati dan sentiasa bekerjasama dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, masalah sosial, penyalahgunaan dadah, penipuan dalam talian atau sebarang gejala yang boleh mengancam keselamatan masyarakat kerana pendekatan pencegahan adalah lebih berkesan daripada tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku.
“Pendidikan keselamatan, kesedaran jenayah dan penglibatan aktif komuniti perlu terus diperkasakan memandangkan dunia kini berdepan pelbagai bentuk ancaman baharu termasuk jenayah siber dan penipuan dalam talian yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Dr Mohammad Razi menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan belia agar memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran keselamatan serta memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, khususnya Ketua Polis Daerah Betong dan jawatankuasa penganjur atas komitmen menganjurkan pelbagai program pencegahan jenayah yang memperkukuh hubungan antara polis dan masyarakat.
Menurutnya, kejayaan sesebuah program ‘Kepolisan Komuniti’ bukan hanya diukur melalui jumlah peserta yang hadir, tetapi berdasarkan hubungan erat yang terus terjalin antara polis dan masyarakat selepas program berakhir, selaras dengan slogan “Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami” demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek dan wakil Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang.
Oleh Adi Safarman