KUCHING: Kerajaan Sarawak lebih mengutamakan keselamatan rakyat di negeri ini disebalik keperluan untuk tetap mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tidak lama lagi berikutan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir pada Jun tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian membidas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini jika mengadakan PRN-12 ketika karajaan dan rakyat sedang berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.
Sambil menegaskan orang luar agar tidak perlu masuk campur urusan di negeri ini, Abang Jo berkata PRN-12 mesti diadakan bagi mendapatkan mandat rakyat untuk terus mentadbir negeri ini.
“Ini tidak sibuk dengan pilihan raya ke tidak (orang luar). Tauk kamek kesihatan orang Sarawak lebih penting daripada pilihan raya.
“Tetapi tempoh kita hendak habis. Gini gaya, mandat kita hendak habis, gini (macam mana) hendak ngatur (menguruskan) bencana, jawatankuasa kita tidak ada mandat,” ujarnya.
Abang Jo yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian dalam amanatnya ketika Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Selepas pilihan raya negeri Sabah, kes positif Covid-19 terus naik dengan mendadak, dan mengambil PRN Sabah sebagai contoh, ramai pihak mencadangkan kerajaan menunda terlebih dahulu PRN-12 Sarawak.
Tegas Abang Jo, ketika ini kerajaan GPS tiada pilihan selain mengadakan pilihan raya, tetapi tetap mengutamakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bagi kamek dalam GPS kamek utamakan rakyat dahulu, tentang pilihan raya kita tidak tahu bila … tetapi PBB mesti bersedia, bila-bila masa kalau ada pilihan raya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Jo sempat meniup semangat kira-kira 1,500 perwakilan dan semua pemimpin PBB yang menghadiri konvensyen itu, agar menjadikan GPS sebagai wadah untuk terus berjuang membangunkan negeri ini bagi mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030.
“Kita berjuang demi untuk mempertahankan hak kita, negeri kita … negeri Sarawak dan rakyat Sarawak.
“Ayuh kita dalam satu barisan, demi untuk Bumi Kenyalang dan terus berjuang untuk negeri kita, hidup PBB,” katanya.
NUR AIN OTSMAN,AKMAL ADIB YUSUP,ASYRAF HALIM & JEAKQLEYN YACHO Foto: ANDRE OLIVERO