
MIRI: Slogan ‘Keselamatan pesakit bermula sejak dari awal!’ menegaskan bahawa setiap kanak-kanak, sejak dari saat kelahiran, berhak mendapat penjagaan yang selamat kerana kehilangan nyawa mereka bukan sahaja tidak dapat diganti malah meninggalkan trauma mendalam kepada ibu bapa, keluarga serta petugas kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kanak-kanak khususnya yang berusia bawah sembilan tahun merupakan kumpulan paling memerlukan perlindungan kerana mereka tidak mampu menyatakan kesakitan atau ketidakselesaan dengan jelas.
“Keselamatan mereka bergantung kepada kita, para profesional kesihatan dan ibu bapa untuk memastikan penjagaan terbaik dapat diberikan.
Ini adalah tanggungjawab besar yang kita pikul bersama,” katanya pada sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025 di Hospital Miri, petang semalam.

Pada majlis tersebut , Lukanisman turut berkongsi analogi mudah dengan membandingkan keselamatan pesakit kepada sebuah orkestra simfoni.
“Kejayaan orkestra bukan bergantung kepada kehebatan konduktor sahaja, sebaliknya kepada keselarasan setiap pemuzik. Begitu jugalah dengan sistem kesihatan kita. Keselamatan pesakit adalah hasil komitmen semua pihak, daripada doktor, jururawat, pembantu perubatan, ahli farmasi hinggalah petugas kebersihan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha memperkukuh sistem kesihatan di Sarawak, termasuk di Miri.
Beliau berkata, Hospital Miri kini memiliki bangunan tambahan baharu yang meningkatkan kapasiti katil dan perkhidmatan kepakaran.
“Sebanyak 1,719 perjawatan baharu telah diluluskan untuk Hospital Miri bagi memastikan operasi blok baharu berjalan lancar dan hospital ini mampu berfungsi setaraf hospital wilayah,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling