KUCHING: Penarikan semula kebenaran pembukaan bazar Ramadan susulan daripada jumlah kes Covid-19 yang semakin merisaukan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Menurut Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Abdul Rahman Junaidi, keputusan tersebut dilakukan berikutan dengan jumlah kes Covid-19 di kawasan Kuching semakin meningkat.
“Berikutan dengan peningkatan kes Covid-19 yang semakin meningkat di Kuching, pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengeluarkan kenyataan menarik semula kebenaran pembukaan bazar Ramadan.
“Keputusan ini dibuat kerana kita tidak ingin merisikokan keselamatan dan kesihatan masyarakat,” katanya ketika ditemui sidang media selepas mengadakan tinjauan tapak projek di Taman Botani Sarawak, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Junaidi berkata peniaga masih boleh berniaga di hadapan rumah bagi menjana pendapatan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Meskipun bazar tidak dibenarkan beroperasi, kita juga tidak menghalang para peniaga untuk berniaga di hadapan rumah dengan mematuhi SOP terutamanya penjarakan fizikal dan menyediakan QR kod MySejahtera di gerai jualan yang disediakan.
“Perkara yang akan dilakukan oelh pihak DBKU ialah mengingatkan para peniaga untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan juga DBKU sendiri.
“Apa yang diberi penekanan oleh pihak DBKU ialah kebersihan yang termasuk kebersihan diri (pengendali makanan), kebersihan tempat jualan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas di tempat yang tertentu,” jelasnya yang turut menyatakan DBKU akan mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan para peniaga mematuhi SOP.
Sementara itu, Junaidi turut mengingatkan para jemaah yang melakukan tarawih di surau dan masjid perlu sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).
“Berdasarkan pekeliling yang telah dikeluarkan JPBN Sarawak, had jumlah jemaah yang boleh datang ialah separuh daripada kapasiti masjid dan surau atau had maksima 200 orang, tidak boleh mengadakan jamuan makan sama ada untuk sahur mahupun berbuka puasa serta masa untuk melakukan aktiviti di masjid dan surau ialah dari jam 4 pagi sehingga 10.30 malam sahaja.
“Selain itu, Jawatankuasa Masjid dan Surau disarankan untuk menyediakan tempat khas untuk sejadah-sejadah yang disusun dengan memberi nombor kepada sejadah yang disediakan dengan penjarakan fizikal satu meter dan langkah ini bagi mengekang penularan Covid-19 sekiranya berlaku kes-kes positif di masjid dan surau,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA