
PETRA JAYA: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Taliff Salleh berkata kerajaan Sarawak dijangka meneliti semula aspek keselamatan di negeri ini susulan insiden kebakaran saluran gas yang berlaku di Putra Heights, semalam.
Tegasnya, langkah-langkah keselamatan perlu dipatuhi oleh semua pihak bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Kita mesti mengikut garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
“Ini adalah satu pengajaran yang perlu kita ambil bagi memastikan keselamatan di Sarawak terus terjamin,” katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Lot 1098, Demak Baru, Lorong Demak Baru 3A, Jalan Bako Petra Jaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak mempunyai banyak industri berat terutamanya di kawasan seperti Samalaju yang perlu menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan, dan pengurusan sisa industri.
“Mereka perlu memastikan pembuangan sisa terjadual dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Ini adalah perkara yang tidak boleh dikompromi,” tambahnya.
Mengulas mengenai industri burung walit di Sarawak, katanya, kerajaan negeri telah lama menyediakan garis panduan, prosedur dan proses bagi industri tersebut, namun masih terdapat premis yang beroperasi secara tidak sah di kawasan bandar dan lot kedai.
“Banyak industri ini membina rumah sarang burung mereka di kawasan yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang,” katanya.
Len menjelaskan bahawa setiap permohonan untuk menjalankan industri burung walit perlu dikemukakan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sebelum diluluskan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA).
“Terdapat empat peringkat SPA yang masing-masing dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah, Setiausaha Kerajaan Negeri, dan saya sendiri.
“Kami akan menilai permohonan yang dikemukakan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurut Len, kerajaan negeri menggalakkan perkembangan industri burung walit, namun semua pengusaha perlu mematuhi peraturan bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada orang ramai.
“Burung boleh membawa virus dan bakteria.
“Oleh itu, kita mesti berwaspada dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan demi kesihatan awam,” tegasnya.
Majlis Rumah Terbuka tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan isteri, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan isteri serta tetamu kenamaan yang lain.