
BATU NIAH: Semua pihak digesa utamakan keselamatan menjelang Hari Gawai Dayak, terutamanya bagi yang pulang ke rumah panjang dan buat persiapan perayaan.
Menurut Pemimpin Masyarakat kawasan Sebauh, Jame Stephen, adalah amat penting bagi semua pihak untuk mengutamakan aspek keselamatan sepanjang musim perayaan bagi memastikan suasana yang selamat dan harmoni serta mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran atau kemalangan.
“Antara aspek yang ditekankan termasuklah pemeriksaan peralatan elektrik, mencegah penyambungan elektrik secara haram atau berlebihan dan sebagainya.
“Ini kerana beban berlebihan yang digunakan semasa perayaan mampu mencetuskan kebakaran malah boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak selepas mengadakan lawatan mangsa kebakaran di Rumah Charlie Mbo, Ulu Sebauh bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bintulu diwakili oleh Timbalan Ketua AMK Bintulu Philbest Etan.
“Saya menggesa agar pemimpin masyarakat terutamanya tuai rumah dapat menghubungi pihak berwajib seperti Sarawak Energy bagi menyelia dan memastikan bekalan elektrik dan penggunaannya berada pada tahap terkawal.
“Pastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik dan tidak rosak terutama peralatan yang menggunakan kuasa tinggi.
“Elakkan penggunaan sambungan elektrik secara berlebihan dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan bagi mengurangkan risiko berlakunya litar pintas,” katanya.
Selain itu, aspek keselamatan makanan juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang penyakit seperti sakit perut, cirit-birit dan taun, ujarnya lagi.
Oleh Adum Liu