SERINGKALI kita disajikan dengan filem-filem aksi yang memaparkan situasi pelanggaran keselamatan semasa penerbangan.
Malah naratif yang dimainkan dalam filem ditonjolkan secara dramatik seolah-olah penguatkuasaan keselamatan sangat longgar hingga berlakunya malapetaka ke atas pesawat.
Walaupun ia bertujuan hiburan, gambaran sebegini boleh menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada penumpang yang menggunakan pengangkutan udara.
Orang awam perlu dididik betapa pentingnya mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya keselamatan dan keselesaan dapat dinikmati sepanjang penerbangan, terutama jika menempuh perjalanan yang panjang dan bukannya dengan memaparkan cara-cara melanggar peraturan.
Kita sememangnya tidak menginginkan sebarang insiden buruk berlaku semasa penerbangan, terutama jika ia melibatkan jenayah yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan pesawat.
Merujuk kepada Akta Kesalahan Penerbangan 1984 (Akta 307), apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan di dalam pesawat yang berdaftar di Malaysia dianggap seolah-olah ia berlaku di Malaysia, walaupun pesawat tersebut berada di ruang udara antarabangsa.
Hal ini bermaksud, bidang kuasa Malaysia boleh terpakai kepada sebarang kesalahan di atas pesawat Malaysia, tanpa mengira lokasi.
Salah satu kesalahan utama yang diperuntukkan dalam akta ini ialah jenayah rampasan pesawat.
Rampasan di sini bermaksud sekiranya seseorang atau sekumpulan manusia menggunakan kekerasan atau ancaman untuk mengambil alih kawalan pesawat dan memaksa juruterbang menerbangkannya ke destinasi yang tidak diingini.
Situasi ini bukan sahaja mengancam keselamatan penumpang, malah juga menjejaskan kelancaran penerbangan dan boleh membawa kepada bencana yang lebih besar.
Sebagai contoh, insiden tragis yang berlaku pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat menunjukkan ancaman rampasan pesawat komersial boleh menjadi senjata dalam serangan pengganas dan lebih membimbangkan ia berkemungkinan boleh berulang jika proses pencegahan dan pengawalan keselamatan tidak diperketatkan.
Selain itu, sebarang perbuatan kekerasan terhadap penumpang atau kru pesawat juga dikategorikan sebagai kesalahan serius.
Tindakan yang melibatkan kekerasan fizikal atau ugutan yang boleh membahayakan keselamatan individu di dalam pesawat memungkin tindakan keras dikenakan ke atas si pelaku.
Misalnya, pada 14 Ogos 2023, seorang penumpang yang mabuk telah bertindak mengancam kru dan penumpang pesawat Malaysia Airlines MH122 setelah pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney untuk menuju ke Kuala Lumpur.
Insiden tersebut menyebabkan juruterbang mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Sydney demi keselamatan semua orang yang berada di dalam pesawat.
Pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan bagi membolehkan penumpang yang menimbulkan gangguan itu dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
Apabila berada di dalam pesawat, setiap individu tidak dibenarkan bergurau berlebihan, terutamanya jika melibatkan niat atau perkataan yang berkaitan dengan keganasan.
Sebarang perkataan seperti “bom”, “rampasan”, “serang”, “pistol” atau apa-apa frasa yang mempunyai maksud yang serupa boleh mencetuskan tindakan kecemasan serta-merta daripada kru dan pihak keselamatan penerbangan.
Walaupun ancaman tersebut disebut secara tidak serius atau dikira sekadar gurauan, pihak keselamatan tetap akan memandangnya dengan serius.
Hal ini dianggap sebagai ancaman palsu berpotensi mencetuskan rasa panik dalam kalangan penumpang dan kru pesawat.
Tambahan lagi, jika pesawat perlu melakukan pendaratan kecemasan, situasi ini boleh mengganggu seluruh operasi penerbangan.
Selain menetapkan kesalahan, akta ini juga memberikan kuasa penuh kepada juruterbang utama dilantik sebagai komander pesawat untuk mengambil tindakan segera jika terdapat ancaman keselamatan ke atas pesawat.
Juruterbang berhak menahan mana-mana individu yang disyaki boleh menimbulkan bahaya kepada pesawat atau penumpang serta menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa sebaik sahaja pesawat mendarat.
Kuasa ini memastikan bahawa sebarang ancaman dapat ditangani dengan cepat sebelum keadaan bertambah buruk.
Juruterbang juga boleh mendapatkan bantuan daripada kru lain atau penumpang untuk mengawal situasi kecemasan semasa di udara.
Pihak keselamatan tidak hanya akan bertindak apabila pelanggaran berlaku tetapi tindakan pencegahan juga dilakukan sebagaimana ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Penerbangan Awam (Keselamatan) 2019.
Pemeriksaan keselamatan yang ketat di lapangan terbang termasuk pemeriksaan bagasi, kargo dan penumpang akan dilakukan sebagai langkah pencegahan untuk memastikan tiada ancaman atau kemungkinan membawa barang-barang berbahaya.
Dalam pesawat komersial, penumpang sememangnya dimaklumkan lebih awal tentang larangan membawa peralatan tajam seperti pisau, gunting dan pemutar skru.
Selain itu, barang-barang yang mengandungi bahan mudah meletup seperti mercun, bunga api, pemetik api dan aerosol bersaiz besar juga tidak dibenarkan.
Penumpang turut dilarang membawa bahan kimia berbahaya seperti asid, peluntur dan racun serangga.
Senjata api dan peralatan berkaitan seperti peluru juga termasuk dalam kategori barang terlarang.
Selain itu, peralatan dengan bateri lithium bersaiz besar yang berisiko tinggi menyebabkan kebakaran turut dilarang sama sekali dibawa masuk ke dalam pesawat.
Penggunaan peranti elektronik semasa penerbangan boleh digunakan dengan mod penerbangan sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak kru.
Peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba mesti diaktifkan dalam mod pesawat sepanjang penerbangan bagi mengelakkan gangguan gelombang elektromagnetik yang dikeluarkan oleh peranti ini ke atas sistem komunikasi dan navigasi pesawat terutamanya semasa fasa kritikal penerbangan seperti berlepas dan mendarat walaupun insiden yang berlaku disebabkan perkara ini adalah kecil.
Mod penerbangan udara seharusnya selamat dan tenang.
Oleh itu, apa-apa gambaran berlebihan dalam filem yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menimbulkan salah tanggapan terhadap keselamatan penerbangan perlulah dipantau atau dilarang tayangannya.
Demi keselamatan bersama, patuhilah setiap peraturan keselamatan yang ditetapkan, walaupun sesetengah penumpang mungkin merasakan ia sukar untuk dilakukan.
Ketahuilah, semua ketetapan ini adalah untuk memastikan keselamatan penumpang dan kru pesawat terpelihara sepanjang perjalanan udara.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.