Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Keselamatan awam perlu diberi penekanan sepanjang pembinaan ART
  • TEMPATAN

Keselamatan awam perlu diberi penekanan sepanjang pembinaan ART

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Lee Kim Shin (tiga, kiri) berbincang bersama Mazli (lima, kiri) dan wakil kontraktor mengenai pakej Laluan Merah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

KUCHING: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan agar semua kontraktor yang terlibat dalam Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sentiasa mengutamakan keselamatan awam serta meminimumkan kesulitan kepada pengguna jalan raya dan komuniti setempat sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.

“Saya sedar para kontraktor berdepan pelbagai cabaran sepanjang pembinaan ini, namun mereka perlu sentiasa peka terhadap kesan aktiviti mereka terhadap pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran kawasan kerja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar pengurusan trafik dipertingkatkan selain berhati-hati ketika melaksanakan kerja-kerja pemindahan utiliti di sepanjang jajaran KUTS.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi kontraktor adalah berkaitan utiliti yang tidak dipetakan sepenuhnya, jadi perhatian rapi perlu diberikan agar perkhidmatan utiliti tidak terganggu dengan serius.

“Ketika kita berusaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam demi masa depan Kuching, amat penting bagi semua kontraktor mengurangkan sebarang kesulitan kepada orang ramai semasa pelaksanaan projek ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja beliau ke tapak pembinaan Stesen Pertukaran ART (SR10) di kawasan Simpang Tiga, salah satu stesen utama di bawah Pakej Laluan Merah KUTS.

Ketibaan beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd, Mazli Mustaffa bersama wakil kontraktor SJCJV, iaitu usaha sama antara Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.

SJCJV bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembinaan dan penyediaan infrastruktur bagi Laluan Merah sepanjang 12.3 kilometer (km) yang menghubungkan Kuching Sentral ke Pending.

DATO Sri Lee Kim Shin (dua, kanan) diberi taklimat mengenai perkembangan pembinaan Stesen Pertukaran Simpang Tiga.

Pada lawatan tersebut, beliau turut diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pembinaan laluan berkenaan dan stesen pertukaran yang bakal menjadi pusat sambungan utama antara laluan KUTS pada masa hadapan.

Sementara itu, Mazli dalam ucapannya menegaskan komitmen Sarawak Metro untuk terus bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi memperkukuh langkah pengurusan trafik dan mengurangkan gangguan kepada masyarakat setempat.

“Kami sentiasa menambah baik proses dan prosedur bagi memastikan pengurusan trafik serta kerja-kerja pemindahan utiliti dijalankan dengan lebih cekap. Selain itu, kami turut bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak berkepentingan lain agar aktiviti pembinaan tidak terlalu menjejaskan komuniti tempatan,” katanya.

Projek KUTS yang diterajui Sarawak Metro Sdn Bhd merupakan antara inisiatif utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang bertujuan memodenkan sistem mobiliti bandar serta meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di Greater Kuching melalui pelaksanaan sistem Transit Pantas Autonomi (ART).

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: JBPM Sarawak perkemas kesiapsiagaan aset, jentera
Next: Kerajaan Sarawak teliti keadaan projek, tentukan keutamaan Sungai Asap

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.