
KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menegaskan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan itu untuk memastikan Kuching Selatan terus berkembang sebagai sebuah bandar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, keharmonian sosial serta tadbir urus yang berkesan menjelang 2026.
Dalam Perutusan Tahun Baharu 2026, beliau berkata kemajuan sesebuah bandar tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui pembangunan fizikal dan peruntukan kewangan, sebaliknya melalui keupayaan menjaga maruah, peluang serta kebajikan setiap lapisan masyarakat.
Menurutnya, Kuching dan Sarawak tidak pernah ditakrifkan oleh satu kaum, satu agama atau slogan politik, sebaliknya kekuatan negeri ini terletak pada keupayaan rakyat hidup bersama dalam suasana saling menghormati, bersederhana dan berkongsi matlamat yang sama.
“Dalam dunia yang sering meraikan perpecahan dan retorik, Sarawak memilih laluan yang lebih tenang dan stabil dengan mengutamakan keharmonian serta hasil yang nyata,” katanya.
Wee berkata sepanjang tahun lalu, MBKS memberi tumpuan kepada keperluan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian penduduk, termasuk aspek kebersihan bandar, penyelenggaraan infrastruktur, inisiatif kesihatan awam serta penyediaan taman dan ruang awam yang selamat, mudah diakses dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian tersebut mungkin tidak bersifat sensasi, namun ia mencerminkan tadbir urus yang boleh dipercayai, sekali gus membolehkan bandar terus membangun tanpa mengorbankan nilai dan identitinya.
Mengulas peranan kerajaan tempatan dalam agenda pembangunan Sarawak, Wee berkata usaha MBKS selari dengan agenda pembinaan negeri oleh kerajaan Sarawak, di mana bandar menjadi medan pelaksanaan dasar dan penterjemahan nilai kepada tindakan di peringkat akar umbi.
“Kita menyumbang kepada Sarawak yang yakin, berdikari dan dihormati dalam Persekutuan Malaysia dengan memperkukuh tadbir urus perbandaran, meningkatkan kebolehhidupan serta memupuk perpaduan sosial,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perancangan jangka panjang yang mengambil kira perubahan demografi, termasuk keperluan warga emas dan pembangunan kanak-kanak, dengan dasar yang memastikan tiada golongan terpinggir dalam arus pembangunan.
Dalam aspek kelestarian, beliau menegaskan pemeliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab berterusan dan bukan sekadar slogan, meliputi pengurusan sisa pepejal, penghijauan bandar, program kitar semula serta perancangan bandar yang bertanggungjawab.
Menyentuh landskap politik semasa, Wee menggesa rakyat Sarawak agar membuat pilihan secara rasional dan berhemah apabila tiba masanya, dengan menilai rekod pencapaian serta kestabilan yang dinikmati negeri ini hasil tadbir urus yang praktikal dan berpaksikan realiti tempatan.
Mengakhiri perutusannya, beliau mengajak seluruh warga Kuching Selatan dan rakyat Sarawak untuk melangkah ke 2026 dengan keyakinan dan ketenangan, terus memelihara perpaduan serta mengutamakan kesejahteraan jangka panjang demi masa depan bersama yang lebih baik.