

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Kajian Indeks Belia Sarawak 2.0 bagi menilai perkembangan kualiti dan kesejahteraan hidup golongan belia di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian ini dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan melibatkan penyertaan belia dari 45 daerah di seluruh Sarawak.
“Ini merupakan kali kedua Sarawak bekerjasama dengan IYRES untuk mendapatkan maklum balas penyelidikan daripada belia di 45 daerah di Sarawak. Kali terakhir kajian seperti ini dijalankan adalah pada tahun 2018,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak 2025, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kajian ini merangkumi enam domain utama, iaitu Pendidikan, Ekonomi, Kesejahteraan Mental dan Fizikal, Sosialisasi Politik, Kenegaraan & Demokrasi, Nilai dan Identiti, serta Media dan Digital Citizenship.
Menurutnya, Sarawak adalah satu-satunya negeri yang telah melaksanakan kajian ini sebanyak dua kali dengan kali terakhir pada tahun 2018.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat.-UKAS