Oleh: Abang Median Abang Said
BIARLAH saya memulakan ulasan ini dengan memetik kata-kata Eudora Welty – seorang penulis Amerika (1909-2001) yang menegaskan, “Jikalau tidak bisa menjadi orang pandai, cubalah menjadi berani.”
Kata-kata ini begitu bermakna terutama sekali apabila membaca karya Tan Chiew Yion – seorang penulis muda berbangsa Cina (aspek ras tidak sepatutnya menjadi kayu ukur lagi setelah 67 tahun negara kita merdeka) dan lebih-lebih lagi, cerpen “Perjuangan Yang Terakhir” adalah karya pertamanya yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera. Keberanian Tan Chiew Yion mencabar diri untuk menghasilkan karya kreatif merupakan satu tindakan yang perlu dipuji dan dicontohi.
Saya terus membuat perbandingan antara penulis ini dengan Frankie Latit yang mula mengasah bakat kepengarangannya melalui cerpen “Darah Putih Mengalir Lagi”yang memenangi Hadiah Pertama Cerpen Pelbagai Kaum Peringkat IPTA/IPTS/IPG pada tahun 2012 anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur. Kebetulan kedua-dua penulis ini condong untuk mengangkat tema tentang perubatan – dengan istilah perubatan dan istilah sains. Pengarang bukan hanya berani menghasilkan cerpen, malahan berani menerapkan ilmu perubatan dan ilmu sains yang kurang dimaklumi oleh pembaca. Maknanya, pembaca bukan hanya digerakkan oleh plot cerita tetapi juga disuguhkan dengan fakta-fakta perubatan. Lantas, usaha pengarang menampakkan keberanian dan kebijakannya mengolah fakta perubatan; dijadikan bahan bantu untuk mengetengahkan tema.
Persoalan yang berkelintar dalam fikiran saya: Adakah ada kesalingan dan keseimbangan antara tema yang menjadi teras dalam nilai sastera dengan penerapan ilmu yang disisipkan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan? Perkara inilah yang akan saya kupas tentang cerpen “Perjuangan Yang Terakhir”ini.
Dalam dunia kesusasteraan Melayu dewasa ini, soal tema dan pemikiran menjadi antara topik yang sering mengundang perbahasan dan menarik perhatian banyak pihak. Perbezaan ini kemudiannya menelurkan penemuan dan kesimpulan yang berbeza-beza. Ada persepsi sinis yang mengatakan bahawa karya sastera hanya memperkatakan tentang aspek kejiwaan dan pergolakan kemanusiaan yang dilabel sebagai masalah klise dalam kehidupan sehingga ada yang mengatakan: membaca karya sastera adalah perbuatan yang melekakan dan membazirkan masa.
Sebenarnya sastera dan bahasa mempunyai kesinoniman, yakni mampu merentasi pelbagai disiplin ilmu untuk diterapkan dan disisipkan dalam karya. Banyak karya-karya penulis tempatan yang kaya dengan pemikiran besar sehingga menguburkan persepsi dangkal dan nakal bahawa karya sastera Melayu lompong dari aspek pemikiran. Sesungguhnya perbezaan penemuan dan kesimpulan tersebut menarik perhatian para peneliti sastera untuk mendalami aspek pemikiran dalam kesusasteraan Melayu.
Mohd. Affandi Hassan (seorang penulis kreatif dan pengkritik yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan Melayu suatu ketika dahulu) pernah menyeru supaya aspek pemikiran dititikberatkan dalam karya sastera sehingga beliau memperkenalkan istilah “Espen” yang merujuk kepada “Esei-Cerpen” yang sengaja dikonsepsikan olehnya untuk menyampaikan pemikiran. Antara idea yang diterapkan ialah pembezaan antara “ilmu” (“pemikiran”) dan “cerita”, yang turut membentuk ciri-ciri asasi genre espen. Berdasarkan karya Mohd. Affandi Hassan, pemikiran dalam karyanya telah disampaikan dengan cara penulisan yang bersifat ilmiah. Kecenderungan ini juga didapati telah meletakkan “cerita” pada kedudukannya yang subordinat.
Plot cerpen “Perjuangan Yang Terakhir”pula digerakkan oleh kematian watak adik sulung “aku” (tidak dinyatakan namanya) setelah mengalami hipertensi selama 12 tahun. Itulah titik permulaan yang sebenarnya adalah pengakhiran dalam binaan plot cerpen berkenaan. Cerpen ini digerakkan melalui teknik imbas kembali untuk menyelongkar kesengsaraan dan penderitaan watak adik sulung “aku” sebelum ajal menjemputnya. Biarpun pembaca sudah mengetahui tentang pengakhiran cerpen berkenaan yang membantutkan aspek saspens dalam binaan plot pengarang, teknik pengolahannya dengan gaya bahasa yang lancar menyebabkan pembaca masih dapat merasai kegetiran rasa dan penderitaan watak-watak dalam cerpen berkenaan.
Masalah tentang perubatan dan penyakit yang dilontar oleh pengarang terasa begitu dekat dengan pembaca – termasuk masalah dan birokrasi di hospital yang turut diketengahkan oleh pengarang. Perkara itu menyebabkan binaan plot yang disusun dapat dihayati dengan berkesan oleh pembaca. Pengarang juga bijak mengolah dialog-dialog yang berkesan untuk menggambarkan aspek kejiwaan watak termasuk pertentangan konflik dengan doktor yang menyuruh supaya adik sulung “aku” dibawa balik ke rumah. Berikut merupakan contoh-contoh dialog yang berjaya menggerakkan plot cerpen berkenaan:
Dialog 1: “Saya bagi arahan terakhir, minggu ni you mesti bawa adik you pulang. Jika tidak, kami akan menghantarnya ke hospital luar bandar.” kata Dr. Lee dengan nada yang keras.
Dialog di atas berjaya menunjukkan arahan tegas daripada doktor yang pastinya menimbulkan ketegangan kepada watak “aku” yang mempunyai pelbagai kekangan untuk menjaga adiknya di rumah. Watak “aku” merasakan bahawa ahli keluarga mereka belum bersedia untuk menjaga adiknya yang lumpuh secara tiba-tiba dan memerlukan penjagaan rapi. Ahli keluarga watak ‘aku’ terpaksa sedaya upaya mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan adik yang masih tidak sedarkan diri untuk dibawa balik ke rumah. Mereka juga telah membuat tinjauan terhadap beberapa pusat jagaan. Setelah diberi pertimbangan, akhirnya mereka membuat keputusan untuk membawa ‘adik” balik ke rumah dengan menjaganya secara bergilir-gilir. Mereka juga telah mengupah seorang penjaga sambilan untuk menjaga adik.
Dari sanalah beberapa konflik berlaku sehingga menimbulkan unsur saspens kepada pembaca apabila watak ‘adik’ telah terjatuh dari katil, iaitu ketika dia hendak membancuh susu di dapur. Watak ‘aku’ terpaksa meminta cuti daripada majikannya untuk menghantar adik ke hospital yang menerima tujuh jahitan di bahagian dahinya. Pengarang juga berjaya menggambarkan pengorbanan dan ketegasan seorang abang untuk berjuang menjaga adiknya. Dia telah mengambil keputusan untuk memberhentikan pekerja yang diupah untuk menjaga adiknya apabila beberapa kecuaian dilakukan oleh pekerja berkenaan. Perkara ini dijelaskan oleh pengarang melalui dialog yang ringkas tetapi mampu menggambarkan perwatakan ‘aku’:
Dialog 2: “Esok, kamu tidak perlu datang lagi.” Sambil menghulurkan gaji minggu itu ku beritahu penjaga bahawa dia dihentikan.
Pengarang telah cuba memberikan kejelasan kepada pembaca melalui teknik deskriptif tentang kegetiran dan perjuangan watak ‘aku’ dan ahli keluarganya dalam tempoh 12 tahun untuk menjaga adiknya. Tentu tempoh itu begitu panjang (digambarkan majikan watak ‘aku’ bertukar sebanyak 4 kali sepanjang masa berkenaan). Nasib baik watak ‘aku’ berdepan dengan majikan yang bertimbang rasa dan bertolak ansur. Namun pengarang boleh juga menggambarkan ketidaksediaan majikan memberikan kerjasama kepada watak ‘aku’ jikalau pengarang ingin menimbulkan konflik dalaman yang lebih mendalam kepada watak ‘aku’. Perkara ini difikirkan agak wajar diketengahkan oleh pengarang agar binaan plot cerpen itu mempunyai turun dan naiknya – tidak bersifat monotonous dan mendatar.
Konflik yang dipilih oleh pengarang lebih kepada rentetan penyakit yang dialami oleh watak ‘adik’ terutama apabila mengalami masalah untuk menelan. Pengarang telah memasukkan elemen ilmu perubatan dalam karyanya apabila menerangkan tentang pemasangan tiub nasogastrik atau Tiub NG (pengarang tersalah apabila mengeja istilah berkenaan sebagai “nasogasrtik”). Penerapan ilmu perubatan dalam cerpen berkenaan dilakukan oleh pengarang juga melalui teknik dialog tatkala doktor membuat penerangan tentang perbezaan tiub nasogastrik dan tiub silikon yang dikatakan lebih tahan tetapi mempunyai harga yang lebih mahal. Adik ‘aku’ yang tidak dapat menelan makanan pepejal juga disarankan oleh doktor untuk mengambil minuman berteraskan susu untuk menampung keperluan badannya.
Membaca cerpen “Pejuang Yang Terakhir”,pembaca akan diberikan maklumat demi maklumat tentang perubatan. Biarpun penerangan yang diberikan oleh pengarang merupakan ilmu perubatan yang bersifat ilmiah tetapi ilmu tersebut menjadi lebih mudah dihadam dan difahami oleh pembaca kerana digerakkan oleh perasaan ingin tahu pembaca terhadap perkembangan penyakit yang dialami oleh ‘adik’. Cuma pembaca sudah mengetahui pengakhiran cerpen ini, iaitu tentang kematian watak berkenaan. Tentu cerpen ini menjadi lebih menarik jikalau pendahuluan cerpen ini tidak mendedahkan tentang kematian watak berkenaan yang pasti akan menimbulkan unsur tegang dan saspens kepada pembaca.
Adakah membaca cerpen ini seperti membaca artikel tentang perubatan?
Jawapannya ya dan juga tidak. Jawapannya ‘Ya’ kerana pengarang banyak memasukkan istilah-istilah sains perubatan dalam cerpennya. Pengarang cuba memanipulasi pengetahuannya dalam sains perubatan untuk dimasukkan dalam cerpennya. Maklumat-maklumat tentang perubatan itu ialah maklumat yang betul untuk memberikan ilmu kepada pembaca. Cerpen itu tidak lompong – yang hanya digerakkan oleh penyusunan naratif semata-mata. Pengarang dalam penulisan cerpen berkenaan seperti cuba memainkan peranannya untuk menerangkan terma-terma perubatan yang mempunyai kaitan dengan tema dan plot yang disusunkan dengan rapi.
Walau bagaimanapun, ada beberapa istilah perubatan yang dimasukkan oleh pengarang menyebabkan pembaca mengalami 2 situasi kemungkinan – sama ada terbantut proses pembacaannya atau cuba mencari maklumat tambahan untuk lebih memahami istilah berkenaan. Sebagai karya kreatif, pengarang tidak mempunyai kewajipan untuk menerangkan secara terperinci definisi istilah berkenaan (biarpun secara keseluruhan perkara itu telah dilakukan oleh pengarang). Antara istilah yang tidak diterangkan lebih lanjut oleh pengarang umpamanya ialah plateau yang dimasukkan dalam dialog pegawai pemulihan perubatan (fisioterapi) kepada watak ‘aku’:
Dialog 3 : “Rawatan di rumah perlu dibuat secara konsisten. Jangan biarkan plateau menghalang adik kamu daripada sembuh.”
Begitu juga dengan istilah left hempiplegia juga tidak diterangkan dan difahami oleh pembaca. Namun, secara keseluruhan cerpen ini memberikan banyak input tambahan kepada pembaca termasuk melalui teknik dialog panjang yang ditulis oleh pengarang:
Dialog 4 : “Memandangkan adik kamu left hempiplegia, maka kamu letak kerusi roda di sisi sebelah kanan adik. Pasang brek kerusi roda. Tanggalkan tempat letak tangan kerusi roda. Alihkan tempat letak kaki kerusi roda. Alihkan adik kamu ke posisi mengiring ke kanan. Kamu berdiri di sebelah kanan adik. Angkat lengan tangan kiri adik di atas pertunya. Silangkan kakinya ke kanan. Kamu berdiri dengan kaki kanannya melutut di atas katil. Ampu bahu dan pinggul kiri adik dan pusingkan secara serentak ke kanan. Alihkan adik dari posisi mengiring ke posisi duduk. Turunkan kedua-dua kakinya ke sisi katil…..,”
Biarpun dialog itu persis artikel tentang perubatan yang menerangkan tentang langkah yang perlu dilakukan untuk menjalani fisioterapi, penyampaiannya menjadi ringan dan relevan apabila dihubungkaitkan dengan watak dan plot cerpen berkenaan. Pembaca seperti berada dalam cerpen untuk merasai kesukaran yang dialami oleh ‘aku’ untuk mengendalikan masalah kesihatan adiknya. Itulah antara kelebihan kepada pengarang yang tidak dimiliki oleh penulis-penulis lain tatkala menggunakan pengetahuannya untuk mengetengahkan konflik perubatan kepada watak-watak dalam cerpennya.
Persoalannya, adakah elemen ilmu yang dimasukkan oleh pengarang – sama ada seperti menempel maklumat untuk memanjangkan cerpen atau mengadunkannya agar bersebati dengan watak dan konflik – menjadi kelebihan kepada cerpen berkenaan atau akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca?
Bagi saya, di sinilah perlunya keseimbangan antara elemen ilmu dan elemen sastera yang perlu diselarikan untuk menjadikan karya itu menarik. Penerapan ilmu yang terlalu banyak sehingga mengabaikan aspek struktural cerpen akan menyebabkan karya menjadi hambar dan membosankan. Pengarang perlu mengembangkan binaan plot, perwatakan, latar tempat dan pengajaran dalam cerpen ini – yang ada dihuraikan oleh pengarang dengan ringkas kerana fokusnya lebih kepada inti atau nilai ilmu dalam karya berkenaan. Konflik atau elemen saspens tidak begitu terasa dalam cerpen tersebut biarpun pengarang mempunyai ruang yang luas untuk mengembangkan elemen sastera tersebut dalam plot ceritanya.
Sebagai karya pertama yang tersiar dalam Wadah Bahasa dan Sastera (ditambah lagi pengarang merupakan penulis berbangsa Cina yang kurang jumlahnya di Sarawak), ternyata pengarang telah berjaya menunjukkan keterampilan diri yang menjanjikan jikalau bakat penulisan tersebut terus digilap. Pengolahan bahasa pengarang sangat lincah sehinggakan elemen ilmu yang ditulis oleh pengarang dapat dihayati oleh pembaca tanpa beban yang begitu menyesakkan fikiran. Pengarang berjaya menjadikan elemen ilmu tentang perubatan itu diserap masuk dalam naratif cerpennya – bukan sesuatu yang ditulis secara terpisah.
Cuma ada beberapa teguran tentang aspek teknikal bahasa yang perlu diambil perhatian pada karya akan datang seperti aspek ejaan (mungkin kesilapan sewaktu menaip yang tidak diedit sebelum dihantar kepada editor). Beberapa contoh kesilapan ejaan saya senaraikan di bawah ini:
- adik sulung ku – adik sulungku
- direkdokan. – direkodkan
- memyumbang – menyumbang
- ku tidak – aku tidak atau kutidak
- pra-sedar – prasedar
Selain itu, pengarang juga perlu mencondongkan tulisan untuk diksi pinjaman dalam penulisan teks cerpen umpamanya ‘you’ yang digunakan oleh pengarang dalam dialog. Malah pengarang perlu mengambil perhatian tentang penggunaan tanda bacaan terutama sekali tanda ‘titik’ seperti contoh berikut:
- “Turunkan kedua-dua kakinya ke sisi katil…..,” (tanda titik yang keempat adalah merupakan noktah. Jadi tanda ‘titik’ itu tidak boleh lebih daripada empat).
Secara keseluruhannya, pengarang ternyata merupakan penulis yang berani mencuba sesuatu yang baharu dan juga bijak memasukkan elemen ilmu dalam karyanya. Pembaca akan mendapat ilmu bukan daripada artikel perubatan tetapi melalui karya sastera. Itulah kelebihan kepada karya ini yang merupakan perjuangan Mohd. Affandi Hassan dalam memperkenalkan istilah “espen” suatu ketika dahulu. Cuma saranan saya, pengarang perlu bijak memilih fakta-fakta yang ingin dimasukkan agar karya tidak kaku malah mempunyai keseimbangan dari aspek sastera dan sisipan ilmu bantunya.
Jikalau pada awal artikel ini saya memetik kata-kata Eudora Welty, kini pengakhirannya saya ingin memetik kata-kata Fyodor Dostoyevski – seorang sasterawan Rusia : Mengambil langkah baru, mengutarakan kata-kata baru adalah yang paling ditakuti orang.
Namun ternyata Tan Chiew Yion tidak takut, malah berani menongkah arus pembaharuan tersebut. Tahniah!