Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kesederhanaan Tema Kedalaman Naratif
  • WBS

Kesederhanaan Tema Kedalaman Naratif

Utusan Sarawak 9 hours ago

KARYA sastera yang cemerlang selalunya diukur dari sudut naratologinya. Apa-apa pun tema atau teknik penulisan, berjaya atau tidak, selalunya dihubungkan kualiti naratifnya.

Aspek naratif sering terabai kerana sebahagian pengarang belum lagi berkeupayaan untuk menjadikan naskhahnya benar-benar mantap, mencabar dan monumental. Tema dan pokok persoalan – isu sekunder.

Naratif secara ringkasnya merupakan proses dan gabungan antara beberapa unsur cerita seperti objek, aksi, struktur dan peristiwa-peristiwa fiksyen. Naratif digerakkan atau dilakonkan oleh seorang atau beberapa orang nataror (watak atau pencerita) sehingga menghasilkan sebuah cerita yang menarik atau­ membosankan pembaca (Talib Samat, Naratologi Shahnon Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010).

Naskhah yang sedang dibaca, menyajikan suatu tema yang, sepanjang pengetahuan, belum diangkat sebagai tulang belakang cerita. Ia sesuatu yang baik, kerana, pengarang lebih memilih sebuah tema yang pernah dialami oleh mana-mana manusia.

Lebih jauh daripada itu, tema yang dikemukakan pengarang mendedahkan sifat, sikap dan profil manusia sebenar. Bukan tema tentang kerosakan alam sekitar, gejala rasuah dalam masyarakat, huru-hara peperangan di sesebuah wilayah disebabkan oleh pihak kolonial tetapi ini tentang perangai manusia dengan sifat kekurangannya.

Suatu ciri tertentu yang dikaitkan dengan seseorang manusia. Naskhah ditulis tidak cuba untuk mengangkat isu-isu besar yang sebahagiannya gagal ditulis dengan baik, tetapi menyorot tentang suatu sifat hakiki manusia dan kesannya pada kehidupan.

Apa bakal terjadi jika suatu malapetaka akibat kecuaian diri yang kelaknya menjadi sesalan sepanjang hayat? Tiada yang pelik dengan sikap pelupa. Ia lumrah kejadian manusia.

Namun bagaimana sifat lupa menjadi inti kepada permasalahan kepada protagonis? Sikap pelupa yang membuatkannya kehilangan insan tersayang. Lupa atau tidak, perkara sudah pun terjadi.

Aspek itu menjadi subjek besar dalam naskhah pada kali ini. “Tragis sesungguhnya”, watak utama perlu sedar, ajal, maut dan rezeki sudah pun tertulis sejak azali. Namun, apa-apa yang paling mustahak, sedalam mana pengarang mengangkat tema untuk memperkuat persoalan dalam naskhah kreatif. Di sinilah kerja kepengarangan menjadi aras kepada mutu naskhah.

Adapun sikap pelupa digambarkan pada karakter watak utama, seorang suami, tidaklah seteruk penyakit Alzheimer, iaitu merujuk kepada penurunan fungsi saraf otak kompleks dan progresif yang kerap terjadi kepada manusia berusia.

Sifat lupa ialah bukti jelas bahawa manusia bukanlah makhluk serba sempurna. Ini kelemahan biasa harus diakui dan ada rawatannya yang dianjurkan oleh cendekiawan Islam. Sentiasa berzikir memuji keagungan Tuhan.

Namun, kekerapan protagonis terlupa, meletakkan sesuatu objek misalnya, mengundang padah yang akhirnya mengganggu emosi kehidupannya pada masa mendatang. Ia bukan kehendak mana-mana manusia pun.

Insiden lupa itu hanyalah alasan. Tiada sesiapa yang mampu menentukan kejadian pada keesokan hari. Jam, waktu dan lokasi sudah diaturkan oleh Tuhan.

Sikap mudah lupa menjadi tumpuan utama pengarang, Raja Nazran Shah, mengembangkan naskhah “Epilog Seorang Pelupa”. Hal itu mungkin terlihat remeh. Kecil atau rumit sesebuah tema, bukan ukuran penulisan itu.

Tetapi mutu sesebuah naskhah sastera dinilai daripada sejauh mana tema itu mampu memberikan kesan kepada pembaca. Perspektif itu perlu diperincikan. Pemilihan tema yang dilihat mungkin sederhana, namun andai pengarang mampu menjadikan sifat pelupa hingga ke suatu tahap kompleks, ia ialah suatu kejayaan.

Tema yang kecil jika di tangan pengarang berkaliber, kesannya tentu lebih berbeza dan mencabar. Bukan semata-mata berkenaan sifat lupa, tetapi ada beberapa elemen lain yang boleh digandingkan untuk menajamkan lagi konflkik dan krisis sesebuah naskhah.

Seteruk apakah sifat pelupa protagonis? Si suami terpaksa dikejutkan daripada tidur oleh isterinya untuk menunaikan sembahyang setiap hari. Jika tidak, sudah pasti waktu sembahyang akan terlajak atau dilupakan terus.

Dan akibat sifat itu juga, si suami hanya menyarung stokin, tanpa berkasut, ketika memasuki pejabat. Keterlaluan sifat pelupa protagonis. Sudah tentu ada lagi beberapa kejadian lupa si suami.

Hinggalah si suami terlupa mengambil kunci kereta yang diletakkan di atas bumbung kereta. Sudah pasti tergelincir di jalan raya ketika kenderaan bergerak. Si suami serba gelisah, walaupun si isteri mengingatkan bahawa mereka memiliki kunci pendua sebagai persedian jika berlaku sebarang insiden tidak diingini. Babak itu nanti kemudiannya menjadi kemuncak kepada naskhah itu.

Adakah beban kerja dan beberapa hal lain yang mendorong mental dan tumpuan protagonis menjadikannya gagal untuk fokus? Masalah di tempat kerja, cita-cita yang belum tercapai dan berbagai-bagai krisis lain yang berhimpun dalam fikiran watak utama hingga menyukar tumpuannya.

Setiap hari si isteri harus memperingatkan si suami tentang hal-hal rutin. Lupa sebegitu belum lagi teruk. Bayangkan andai si suami terlupa arah jalan menuju ke rumah atau pejabat.

Sikap mudah terlupa adalah sebahagian daripada proses penuaan yang lazim berlaku. Maklum, faktor usia. Apabila manusia menginjak umur, dari tahun ke tahun, perubahan terjadi pada seluruh anggota badan termasuk otak.

Bahkan sikap pelupa juga terjadi kepada orang muda aklibat kecederaan di kepala, trauma psikologi yang serius.

Pada suatu detik, waktu subuh, secara tidak diduga, si isteri melontar suatu pertanyaan janggal kepada watak utama. Si isteri, sama ada bergurau atau memberi isyarat tertentu, meminta si suami apakah yang paling diingininya antara beberapa pilihan lain?

Wajar sahaja si suami terkesima dengan pertanyaan sebegitu, pada waktu yang sebening subuh, ketika suasana lebih tenang tanpa keriuhan duniawi. Ia bukan gurauan, si isteri mahukan jawaban tegas yang luhur daripada hati nurani si suami.

Apa lagi yang lebih bererti dalam kehidupan si suami selain daripada memori antara mereka berdua terus melekat dalam jiwa. Sehingga bila-bila. Jawaban itu tentu melegakan si isteri. Si suami benar-benar meletakkannya di tempat paling istimewa.

Apabila pengarang menyentuh tentang memori – sudah tentu hubungan kemesraan dan kasih sayang antara si suami dan si isteri – sebagai rujukan bandingan; Orhan Pamuk, telah mengarang sebuah novel dahsyat berkaitan memori percintaan.

Tema cinta sudah terlalu biasa dalam ranah kesusasteraan sejak dahulu. Tetapi Orhan Pamuk menjadikan naratifnya lebih peribadi dan interaktif. Mabuk dan tenggelam dalam lautan asmaradana, malangnya cinta berderaian di siang hari.

Beban kehilangan kekasih pahit diterima oleh watak utama. Cinta remuk di pinggir dataran yang dipenuhi hamparan bunga matahari. Watak utama tersentak dan tidak berdaya meneruskan baki kehidupan yang berubah menjadi gelap gelita. Tema yang sejagat itu dirumitkan oleh permainan karakter pendukung naskhah,.

Namun segala memori dan apa-apa sahaja objek yang mampu menghubungkan antara pasangan itu, dikekalkan dalam sebuah muzium. Bukan muzium fiktif. Tetapi muzium nyata, fizikal dan boleh dilawati para pengunjung.

Bekas puntung rokok, beg tangan, subang dan apa-apa sahaja objek yang pernah digunakan dan disentuh si kekasih dijaga dengan rapi. Betapa aneh dan cerdasnya idea sebegini. Ini sebuah karya monumental.

Watak utama dalam novel Museum of Innocence ingin memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa dia tetap berbahagia. Bukan seorang kecundang yang sentimental. Ingatan, kenangan dan api cinta kepada si kekasih masih bernyala dalam muzium itu.

Malahan novel itu diadaptasi secara bersiri di Netflix dengan tajuk yang sama. Visual dan emosi pada jalan cerita pasti meruntun jiwa audiens. Walaupun temanya hanyalah tentang cinta dan keasyikannya.

Lihatlah ketelitian, obsesi dan luar biasanya sasterawan besar dunia melakukan kajian dan persediaan mendalam demi mengabadikan sebuah kenangan percintaan dan sudah tentu kepada standard baharu kerja sastera. Inilah suatu sifat kesungguhan perlu ada buat seseorang pengarang dalam menyiapkan naskhah.

Kesannya sudah terasa impresif dan penuh artistik. Mencintai seseorang bukan mudah, kerana dalam diri manusia itu sesungguhnya kompleks.

Wajah, rambut yang ikal berombak, mata bundar dan senyuman bergula, hanyalah lapisan permukaan yang selalu mencairkan pandangan lahiriah. Kerja pengarang adalah meneroka apa yang bergelora dan berkecamuk dalam diri watak.

Pada malam watak utama keciciran kunci kereta, dia berbolak-balik di tempat tidur. Selagi kunci kereta tidak berada di telapak tangan, selagi itulah tidurnya akan terganggu.

Si suami menjadi obsesif. Terkejut dengan tindakan si suami ingin mencari kunci kereta pada lewat malam, si isteri tergerak hati untuk mengikut. Sampai ke lokasi yang diyakini oleh si suami, misi pencarian pun bermula.

Si suami segera mencari di pinggir jalan dan bantuan lampu dari telefon pintar, manakala si isteri menunggu di dalam kereta. Pada jarak 50 meter dari kawasan kereta diparkir, si suami berasa gembira kerana objek yang dicari berada di depan mata.

Belum pun sempat menyatakan kunci kereta yang dicari sudah dimiliki kembali, terjadilah perlanggaran dahsyat. Kunci kereta terlepas daripada genggaman tangan.

Apa yang berlaku sesudah kemalangan itu? Bagai takungan air dalam tab mandi yang tiba-tiba mengering. Kosong dan bersendirian. Mahu tidak mahu, si suami cuba memasrahkan diri dan menerima kehilangan si isteri dengan lapang dada.

Si isteri tiada lagi di sampingnya. Tiada lagi yang akan mengejutkannya untuk bangkit daripada tidur dan mendirikan sembahyang. Tiada lagi si isteri untuk diajak bergurau senda.

Tiada lagi si isteri yang akan mengikutinya ke mana-mana. Cintanya kepada si isteri memang tiada galang gantinya. Wajah dan kehadiran si isteri bagaikan wujud di setiap sudut rumah dan hatinya.

Kisah cinta mereka tidak tamat di dunia. Suara si isteri menyebut namanya bergema dari suatu tempat yang tidak dapat disentuh dengan tangan. Tetapi Tuhan yang mencipta kehidupan, mengatur susun atur perjalanan makhluk, di angkasa dan di muka bumi, lebih berkuasa daripada kemahuan insan.

Watak utama sedar bahawa semua makhluk ialah pinjaman dari Tuhan. Manusia tidak mampu melawan apa yang sudah ditentukan Tuhan.

Dengan nada pilu, protagonis mengenang dan mengakui keesaan Tuhan, ‘‘Dia akur, ingatan manusia hanyalah pinjaman yang rapuh. Namun, selagi kudrat masih tersisa, dia memilih untuk terus hanyut dalam kenangan itu. Cinta itu, tidak akan hilang terkubur. Akan kekal hidup, menyelinap dalam setiap lupa yang tidak disengajakan dan mekar dalam setiap doa yang dikirimkan. Sentiasa menjelma bak utusan warkah cinta daripada pengirim yang jauh nun di sana. Tidak pernah sirna ditelan waktu kerana sudah tertulis dalam surat ketentuan. Terus kekal, walau untuk seorang pelupa. Sepertinya.’’

Dari sudut naratologi, naskhah “Epilog Seorang Pelupa”masih sederhana dan disampaikan dengan seadanya sahaja. Cerita dikarang dengan kaedah biasa. Tiada penggunaan teknik canggih atau aneh. Hanya sebuah naratif umum, biasa dan kurang mencengkam daya intelektual.

Akibat sifat pelupa, si suami terpaksa menelan hakikat bahawa isterinya terkorban akibat pelanggaran. Si isteri mengikut si suami dalam misi mencari kunci kereta. Tanpa mahu bertangguh atau memakai sahaja kunci pendua.

Si suami keluar sepanjang kalan mencari kunci, si isteri menunggu dalam kereta dengan harapan segeralah misi itu selesai. Itulah malam terakhir buat si isteri. Gara-gara terlupa kunci kereta.

Gara-gara kedegilan dan sikap tidak bersabar, si suami melibatkan isteri kesayangan dalam misi yang berakhir dengan musibah.

Tiada kejutan, renungan mendalam dan penyelongkaran psikologi yang canggih untuk membuktikan kerja keras pengarang menangani naskhah. Mengapa hal itu berlaku? Ia berakar daripada kualiti kepengarangan seseorang.

 Jika pengarang mahukan naskhahnya lebih menarik, berbeza dan mengundang perhatian mendalam, maka, kerja penulisannya juga tidaklah seringkas dan secepat dihasilkan.

Naratologinya juga perlu lebih mantap dan mendalam. Tema yang hendak diangkat sebenarnya sudah cukup menarik, unik dan normal berlaku kepada manusia biasa.

Tema tentang sikap pelupa mampu menimbulkan kesan humor dan pada masa yang sama, membuka peluang pengarang meneroka dengan lebih lanjut tentang gejala tersebut. Pembaca ingin tahu, apakah yang terjadi kepada mental dan karakter watak utama selepas mengalami trauma kehilangan isterinya?

Pada fasa baharu itulah yang bakal menambah kerumitan dan kecelaruan jiwa watak utama. Apa yang dahulunya indah dan manis, berubah mendadak mendung dan pedih. Ruang emosi itu, malangnya dibiarkan kosong kerana pengarang segera menyudahkan nukilannya.

Kekesalan yang ditanggung watak utama belum cukup dipaparkan dengan mendalam. Bayangkan jika pengarang memanfaatkan fasa kedua kehidupannya setelah ketiadaan si isteri. Beban ketiadaan insan teristimewa tentu mempengaruhi keadaan mental dan jiwa watak utama.

Secara tidak langsung naskhah yang dihasilkan pasti lebih berbeza, kompleks dan menarik. Inilah sebabnya sudut keberkesanan naratologi menjadi kunci kejayaan dan kegagalan seseorang pengarang dalam menghasilkan naskhah.

Banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan oleh pengarang. Selain membaca karya-karya fiksyen, buku-buku teori sastera, terutamanya psikologi, mampu meninggalkan impak kepada struktur penulisan seseorang. Dan memang itulah yang perlu dilakukan oleh pengarang sebagai persediaan menghasilkan naskhah dan memperkayakan kreativiti.

Oleh Roslan Jomel

Continue Reading

Previous: Epilog Seorang Pelupa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.