JULAU: Perjalanan sekitar dua jam ke kawasan Ensiring tidak menghalang pasukan bomba memperluas pendidikan keselamatan kebakaran kepada komuniti rumah panjang di pedalaman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program kesedaran awam tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Sukarelawan MYCORPS, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Rumah Bedalie, Ensiring, baru-baru ini.
Katanya, program jangkauan berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat memperoleh pengetahuan mengenai aspek pencegahan kebakaran serta tindakan awal yang boleh dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.
“Program seperti ini penting terutama bagi komuniti yang berada jauh dari balai bomba kerana pengetahuan mengenai pencegahan dan tindakan awal ketika berlaku kebakaran boleh membantu mengurangkan risiko sebelum bantuan tiba.
“Kita mahu penduduk bukan sahaja mengetahui bahaya kebakaran, tetapi mempunyai pengetahuan asas dan keyakinan untuk menggunakan peralatan pemadaman dengan cara yang betul dan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Program yang bermula sekitar 9.00 pagi tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran sekitar 100 penduduk.
Antara pengisian utama ialah ceramah kesedaran dan pencegahan kebakaran yang memberi penekanan terhadap langkah keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan.
Penduduk turut mengikuti latihan praktikal mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api, sekali gus membolehkan mereka memahami kaedah pengendalian peralatan tersebut dengan betul.
Selain itu, demonstrasi turut dijalankan mengenai tatacara memadam kebakaran melibatkan dapur memasak, antara situasi yang memerlukan tindakan awal secara tepat bagi mengelakkan api daripada merebak.
Latihan tersebut dikendalikan Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin dengan dibantu seorang anggota bomba.
“Pendedahan secara praktikal memberi peluang kepada penduduk melihat dan mempelajari sendiri kaedah yang betul ketika berhadapan kebakaran, khususnya kejadian yang boleh berlaku dalam persekitaran rumah.
“Kita berharap ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan dan disampaikan pula kepada ahli keluarga serta penduduk lain supaya kesedaran keselamatan kebakaran dapat diperkukuhkan dalam komuniti,” katanya.
Pada program sama, Kelab Sukarelawan MYCORPS turut menyerahkan sumbangan sebuah pam kepada rumah panjang tersebut untuk kegunaan komuniti setempat.
Oleh Earl Anek





