
BAU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah mengadakan Program Ceramah Pencegahan dan Kesedaran Jenayah Komersil di Jabatan Pertanian Bau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan Jabatan Pertanian Daerah Bau mengenai trend terkini jenayah komersil yang kerap berlaku di daerah ini.
Menurut beliau, ceramah itu merangkumi penerangan mengenai pelbagai bentuk jenayah komersil, termasuk penipuan perdagangan dalam talian, penipuan telefon, pinjaman palsu, kes keldai akaun, penipuan percintaan, penipuan bersemuka, serta penipuan melalui pembayaran QR.
“Para peserta turut diberikan panduan praktikal serta langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah komersil, melalui ceramah dan risalah yang diedarkan,” katanya.
Beliau menambah, pihak BSJK IPD Bau juga memberikan pendedahan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, antaranya Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC 997), aplikasi Whoscall dan Portal Semak Mule, bagi membina komuniti celik digital serta meningkatkan kesedaran terhadap risiko jenayah siber.
Oleh Connie Chieng