Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kesedaran digital luar bandar diperkasa melalui Program Sembang Santai
  • Tengah
  • WILAYAH

Kesedaran digital luar bandar diperkasa melalui Program Sembang Santai

Utusan Sarawak 18 hours ago
RAKAM KENANGAN… Christopher Gira Sambang merakam kenangan bersama penduduk Rumah Panjang Tuai Rumah Jimbau Ngelambai, Jalan Dijih. Foto DUN N.59 Tamin

SELANGAU: Kesedaran digital dalam kalangan penduduk luar bandar terus diperkukuh menerusi Program Sembang Santai anjuran Jabatan Penerangan Bahagian Sibu.

Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI itu berlangsung di Rumah Panjang Tuai Rumah Jimbau Ngelambai, Jalan Dijih, di sini Sabtu lalu.

Ia memberi tumpuan kepada isu penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar yang masih kurang pendedahan terhadap aspek keselamatan digital.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang ketika merasmikan program berkata, pelaksanaan dasar kerajaan perlu disokong oleh keberkesanan penyampaian maklumat oleh agensi pelaksana agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

TUAI Rumah Jimbau menyampaikan cenderahati kepada Gira. Foto DUN N.59 Tamin

“Tugas saya sebagai pembuat dasar ialah memperjuangkan keperluan rakyat. Namun, segala usaha ini akan menjadi sia-sia jika tidak sampai kepada komuniti akar umbi,” katanya.

Menurut Gira, ancaman penipuan siber semakin meruncing dan masyarakat luar bandar perlu dibekalkan dengan pengetahuan untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.

“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara terus serta membina ketahanan terhadap modus operandi scam yang semakin canggih,” ujarnya.

Sebagai kesinambungan kepada usaha itu, Kempen Internet Selamat turut diteruskan di beberapa sekolah sekitar Selangau, termasuk SK Nanga Tajam dan SK Kuala Pelugau selepas kejayaan pelaksanaan di SK Dijih minggu lalu.

Sehingga kini, sebanyak 23 program keselamatan digital telah dijalankan di sekitar kawasan Sibu, menyumbang kepada sasaran nasional sebanyak 1,878 program oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Antara pengisian program termasuk sesi penerangan keselamatan digital, demonstrasi interaktif serta perkongsian kisah benar daripada mangsa penipuan siber sebagai langkah pencegahan.

Dalam pada itu, Gira turut mengumumkan beberapa inisiatif pembangunan untuk manfaat penduduk sekitar, termasuk peluang menanam sawit di bawah program pertanian Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) khusus untuk pengusaha kebun kecil.

Beliau juga memaklumkan peruntukan bekalan elektrik kepada 10 rumah panjang yang tercicir sebelum ini melalui dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin serta sumbangan RM25,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Tuai Rumah Jimbau.

Turut hadir Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan; Pegawai Jabatan Penerangan Sibu, Zaini Morshidi; Penghulu Christopher Chat Landa; barisan kaunselor, Tuai-Tuai Rumah sekitar Dijih dan Maga serta penduduk dari kawasan berdekatan.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Bomba Bintangor pantau kawasan berisiko pembakaran terbuka
Next: Subis Agrofest 2025 tawar pelbagai aktiviti pertanian mulai 1 Ogos

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.