
BINTANGOR: Sebanyak 11 beg darah berjaya dikumpul melalui program derma darah anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut yang bermula pada 8.30 pagi di BBP Bintangor mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota bomba, kakitangan agensi kerajaan serta penduduk tempatan.
“Program ini bertujuan menyemai kesedaran tentang pentingnya menderma darah serta menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.
“Setiap titisan darah amat berharga dan boleh menjadi penyelamat kepada pesakit yang berada dalam situasi kritikal.
“Melalui program seperti ini, kami ingin mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial dan menggalakkan lebih ramai tampil sebagai penderma tetap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, aktiviti kemasyarakatan seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pasukan bomba dan masyarakat, tetapi turut menzahirkan nilai kemanusiaan serta semangat tolong-menolong yang tinggi
“Kami amat berterima kasih kepada semua penderma yang hadir dan juga pihak Hospital Sarikei atas kerjasama padu menjayakan program ini,” katanya.
Oleh Earl Anek