SEPERTI negara di dunia lain, Malaysia terkesan dengan pandemik ini dari segi ekonomi. Hal yang paling ketara adalah penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negatif 8.3 peratus bagi bagi tempoh separuh pertama 2020, berikutan pandemik Covid-19. Keadaan ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Kesan negatif pertumbuhan tahun 2020 ini juga dijangka hampir sama pada tahun 2021 di Malaysia. Memang kesan ini bersifat sementara dan dijangka pulih pada beberapa tahun akan datang, namun, mengambil masa untuk pulih.
Apabila dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka sektor ekonomi juga terbantut. Banyak kilang dan kedai ditutup. Terdapat sembilan syarikat multinasional terpaksa ditutup operasi sejak pandemik bermula Mac 2020 hingga Mei 2021. Syarikat-syarikat ini sudah lama beroperasi di Malaysia dan dijangka memberikan kesan buruk apabila ramai kehilangan pekerjaan ekoran operasi syarikat terpaksa ditutup. Korporasi-korporasi multinasional (MNCs) yang terlibat ialah Esquel Malaysia Sdn Bhd di Pulau Pinang dan Kelantan, Pen Apparel Sdn Bhd, Bekaert Ipoh Sdn. Bhd, Howco Metals Management Malaysia Sdn. Bhd., Transnorm System Sdn. Bhd., Terreal (Malaysia) Sdn. Bhd., Sika Kimia Sdn. Bhd. dan Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd.
Sektor Pelancongan Terjejas
Begitu juga kesannya apabila PKP dilaksanakan, dan rentas negeri tidak dibenarkan. Hal sedemikian ini menyebabkan industri pelancongan negara terjejas teruk. Sejak Mac 2020 sehingga Julai 2021, kerugian mencecah RM45 bilion susulan pandemik Covid-19. Punca kerugian tersebut disebabkan penutupan sempadan negeri dan negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan kerajaan. Kerugian itu meliputi kehilangan pekerjaan dan pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel serta pakej-pakej pelancongan di seluruh negara.
Akibat daripada itu, sejak 2020, sebanyak 120 hotel ditutup secara tetap atau sementara. Bermakna berlakunya pemberhentian pekerja, apabila penutupan hotel dan industri berkaitan dengannya, seperti agensi pelancongan, pengangkutan dan sebagainya.
Perusahaan Kecil dan Sederhana
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) pula menjangkakan bahawa lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Terdapat kira-kira 580,000 perniagaan yang mewakili 49 peratus sektor PKS dijangka terpaksa gulung tikar sekiranya tidak dibenarkan untuk beroperasi menjelang Oktober 2021. Sedangkan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebelum ini menyumbang kepada hampir 40 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sekiranya sekiranya PKP berpanjangan Sekiranya setiap pekerja mempunyai 3 tanggungan, bermakna seramai 21 juta individu akan terkesan dengan situasi ini.
Bermakna jika masalah ini gagal ditangani, maka akan memberi impak buruk kepada landskap sosioekonomi negara, sekali gus memberi kesan kepada kebajikan dan tahap mental rakyat serta memberikan kesan yang lebih buruk kepada ekonomi dan kebajikan rakyat serta mampu mencetuskan masalah sosial. Tambahan lagi, terdapat maklum balas daripada kebanyakan perusahaan kini terkesan akibat PKP dan satu pertiga daripada responden memaklumkan bahawa mereka tidak menerima kepelbagaian bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa hampir 60 peratus usahawan menderita sekurang-kurangnya satu bentuk masalah kondisi mental sepanjang waktu PKP susulan kehilangan atau pengurangan pendapatan, hutang dan masalah kewangan, termasuk risiko penutupan perniagaan. Malah, lebih daripada 90 peratus usahawan tidak memiliki insuran dan 70 peratus lagi tiada pelan keselamatan sekiranya kehilangan sumber pendapatan. Sudah pasti, hal sedemikian ini memerlukan perhatian sewajarnya dari pihak kerajaaan dan keprihatinan semua pihak berkaitan.
Isu Kehilangan Pekerjaan
Kesemua yang berlaku dalam sektor ekonomi tersebut membawa kepada kehilangan kerja secara mendadak. Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sejak Mac 2020 sehingga Ogos 2021, sejumlah 140,608 individu hilang pekerjaan atau diberhentikan akibat dilanda pandemik Covid-19. Sudah tentu kelompok ini memerlukan sokongan dan bantuan.
Statistik Januari hingga 27 November 2020 yang berdasarkan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) pula merekodkan seramai 99, 696 pekerja diberhentikan akibat kesan penularan Covid-19. Pembuangan pekerja itu termasuk melibatkan golongan berkemahiran tinggi, masing-masing membabitkan kategori pengurus seramai 13,109 orang; profesional (26,079 orang) dan juruteknik serta profesional bersekutu (19,095 orang). Kategori tersebut merupakan kalangan pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke atas. Punca kepada pemberhentian pekerja telah dikenal pasti iaitu, pengambilalihan dan penutupan syarikat serta masalah kewangan kritikal.
Faktor-faktor ini disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh semua industri secara global disebabkan pandemik Covid-19 yang di luar kawalan. Walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan, namun ia gagal membendung pembuangan pekerjaan secara besar-besaran akibat masalah ekonomi yang melanda. Terdapat usaha kerajaan menyenaraikan pekerja golongan pengurusan sebagai penerima subsidi upah, namun statistik menunjukkan secara jelas bahawa 59 peratus kadar pengangguran membabitkan kalangan pekerja berkemahiran tinggi.
Pada masa yang sama juga, dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja yang dibuang ialah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah. Kesemua ini perlu perhatian dan langkah strategik bagi memastikan terdapat sistem sokongan agar kebajikan golongan terjejas dapat ditangani secara menyeluruh.
Muflis dan Kesan Sosial
Apabila perniagaan banyak terjejas, faktor kerugian, di samping ada yang terpaksa ditutup akan menyebabkan hutang turut meningkat. Ketidakmampuan membayar hutang ini membawa kepada kemuflisan. Sejak Mac 2020 hingga Julai 2021, terdapat 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akibat pandemik Covid-19. Negeri Selangor merekodkan jumlah individu tertinggi diisytiharkan muflis, iaitu seramai 2,555 orang, manakala Wilayah Persekutuan pula mencatatkan seramai 1,288 orang. Sebanyak 1,246 syarikat turut gulung tikar sepanjang tempoh berkenaan, namun MdI tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP.
Maka, perkara ini menyebabkan banyak tekanan sehingga berlaku kes bunuh diri yang semakin meningkat. Sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini antara Januari hingga Julai tahun ini, iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2020. Hal ini sangat membimbangkan kerana jumlah itu meningkat 1.4 kali ganda, berbanding 262 kes sama tahun 2020.
Apabila ekonomi tidak stabil, maka berlakunya perubahan pendapatan tidak menentu, lebih rendah, malah pembuangan pekerja dan gaji dibayar separuh. Situasi ini memberikan kesan psikologi yang tinggi dan boleh menggugat rumahtangga yang sudah lama terbina sekiranya tidak ditangani dengan baik. Kes penceraian sejak Mac 2020 hingga Ogos 2021 dilaporkan sebanyak 76,786 kes. Ia melibatkan 66,440 kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam, manakala baki 10,346 adalah pasangan bukan Islam. Malah, dilaporkan berlakunya peningkatan kes keganasan rumah tangga di seluruh negara. Sebanyak 1,578 kes keganasan rumah tangga sejak Mac tahun 2020 hingga Ogos 2021, membabitkan 1,432 perempuan dan 146 lelaki. Kesemua ini memerlukan perhatian semua pihak agar sama-sama membantu mensejahterakan keluarga, memulihkan ekonomi negara dan membantu antara satu sama lain. Sokongan keluarga dan masyarakat serta peranan kerajaan dapat menangani isu akibat daripada kesan pandemik yang telah banyak mengubah landskap kehidupan manusia, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)