TANJUNG MANIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelima seorang lelaki yang terjatuh dari bot ekspres di muara Sungai Paloh pada Sabtu lalu dijalankan berkonsepkan teknik pencarian di permukaan air, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, berkata SAR dijalankan di sepanjang muara Sungai Paloh dalam radius sembilan kilometer dari lokasi kejadian.
“Pencarian turut dijalankan di sekitar kawasan lokasi mangsa dikhuatiri terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seramai tujuh orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, diketuai Komander Operasi yang juga Ketua BBP Tanjung Manis, PBT II Bangga Baie, tujuh orang anggota polis, enam orang anggota Sarawak Coast Guard, tiga orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 28 orang penduduk kampung Paloh/Kedang menyertai operasi SAR tersebut.
Terdahulu, pada Sabtu lalu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Awang Indera Awang Mahmud, 45, dilaporkan terjatuh dari bot ekspress di muara Sungai Paloh.
Setakat berita ditulis, mangsa masih belum ditemui.
Oleh Earl Anek