SATU fenomena yang menjejaskan kemakmuran sesebuah negara adalah berlakunya kemelesetan ekonomi dunia. Dari awal abad ke-20 hingga meletusnya Perang Dunia Kedua, fenomena kemelesetan ekonomi dunia berlaku sebanyak dua kali.
Pertama berlaku selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Kesan daripada kemelesetan ekonomi ini menjejaskan keadaan ekonomi dunia di kebanyakan negara termasuk di Asia. Fenomena kemelesetan ekonomi dunia kedua berlaku pada 1930-an.
Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1930-an sebenarnya telah berlaku sejak 1929. Kemelesetan ekonomi dunia ini dikaitkan dengan Great Depression yang berlaku di Amerika Syarikat. Great Depression yang berlaku di Amerika Syarikat ini bermula dengan kejatuhan pasaran saham yang dikenali sebagai Black Thursday. Kejatuhan pasaran saham ini menyebabkan bank-bank mula cemas, dan menyebabkan mereka mengurangkan pemberian pinjaman.
Bank pusat di Amerika Syarikat juga mula menaikkan kadar pinjaman untuk menstabilkan kadar perdagangan mereka. Seterusnya Kerajaan Amerika Syarikat meluluskan the Smoot-Hawley Tariff Act untuk mengenakan cukai ke atas barangan industri dan pertanian yang menyebabkan pengeluaran dikurangkan.
Tindakan ini membawa kesan kepada ekonomi dunia pada 1930. Amerika Syarikat dan Eropah mula mengalami keadaan ekonomi yang merosot dalam tempoh yang panjang. Jepun dalam satu hal pula turut mengalami masalah sama tetapi kesannya agak sederhana. Amerika Latin tidak terkecuali dalam hal ini, dan juga mengalami keadaan ekonomi tidak menentu.
Tanah Melayu juga mengalami masalah sama apabila harga getah dan bijih timah menurun. Kesan ketara berlaku kemerosotan pendapatan bagi negeri-negeri di Tanah Melayu. Bagaimana pula Sarawak dalam keadaan ini?
KEMEROSOTAN PENDAPATAN
Dalam hal ini Sarawak juga merupakan negara yang terlibat dalam aktiviti ekonomi dunia. Oleh itu apa sahaja yang berlaku di dunia akan juga mempengaruhi perkembangan di Sarawak seperti pendapatan tahunan.
Laporan pada 1930 menyebut bagaimana pendapatan Sarawak telah berkurangan dari 1929. Jumlah nilai keseluruhan bagi import asing hanyalah $16,421,592 berbanding dengan $22,726,657 pada 1929. Hal ini menunjukkan pengurangan sebanyak $6,305,065.
Dari segi percukaian pula jumlah keseluruhan duti import adalah $946,091. Jumlah ini jauh berbeza pada 1929 dengan duti import lebih besar iaitu $1,131,726. Kejatuhan ini merangkumi 16.05 peratus, manakala duti eksport yang berjumlah $323,864 pada 1930 adalah jauh berbeza dengan $646,352 untuk 1929. Jumlah kejatuhan adalah pada 49.89 peratus.
Dalam hal ini implikasi jelas pada kejatuhan harga getah. Secara purata harga getah di Singapura pada 1929 adalah $45.85 satu pikul telah jatuh kepada $25.72. Kesan ketara kepada masalah ini adalah kepada pekebun kecil.
Pekebun kecil ini terpaksa bergelut untuk terus hidup dengan kejatuhan harga getah. Komoditi pertanian lain juga menunjukkan penurunan harga jualan untuk eksport seperti lada, sagu dan kelapa serta hasil hutan.
Salah satu kesan tidak langsung akibat kemelesetan ekonomi ini adalah penglibatan Jepun dalam industri kapas. Jepun mengambil peluang yang ada untuk bersaing dengan industri kapas di dunia yang memberi kesan kepada industri sagu di Sarawak. Ini kerana industri kain kapas di Lancashire yang banyak mengimport sagu dari Sarawak mengalami masalah persaingan dengan industri kapas dari Jepun. Keadaan ini memberi kesan kepada masyarakat Melanau di Bahagian Ketiga.
LANGKAH KERAJAAN
Dalam usaha untuk mengawal keadaan ekonomi Sarawak yang terkesan akibat kemelesetan ekonomi ini, maka ditubuhkan Jawatankuasa Kewangan. Jawatankuasa ini dipengerusi oleh Rajah Vyner Brooke dan dianggotai oleh pegawai Barat.
Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa mesyuarat dan mengambil langkah mengurangkan beban kewangan kerajaan. Jawatankuasa ini telah mengesyorkan beberapa perkara seperti menamatkan perkhidmatan keretapi di Kuching, menutup lombong di Sadong dan memindahkan Hospital Eropah ke Hospital umum di Kuching.
Usaha-usaha lain dilakukan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan ini adalah mengecilkan saiz perkhidmatan awam Sarawak. Usaha ini dilakukan dengan mengstruktur semula dan mengabungkan beberapa jabatan-jabatan kerajaan. Jawatan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri juga dihapuskan, dan peranan jawatan ini disandang oleh Residen Bahagian Pertama.
PENGANGGURAN
Melihat fenonema yang tidak menentu ini, maka usaha telah dibuat untuk melihat semula tentang nasib buruh-buruh kontrak yang ada di Sarawak. Pelindung Buruh telah mengadakan mesyuarat dengan pengurus-pengurus ladang di Sarawak pada Ogos 1930. Hasil mesyuarat itu telah bersetuju untuk menamatkan buruh-buruh kontrak dalam kalangan buruh Jawa.
Mereka ini diberi pilihan untuk balik semula ke Jawa atau tinggal di Sarawak untuk menjadi buruh bebas. Seramai kira-kira 30 peratus daripada mereka ini telah bersetuju untuk balik semula ke Jawa. Selebihnya menjadi buruh bebas untuk ladang-ladang di Sarawak.
Berbeza pula dengan buruh-buruh dari China yang dibawa masuk ke Sarawak. Bagi mengurangkan masalah ekonomi di Sarawak, rancangan telah dibuat untuk menghantar mereka pulang ke China. Namun demikian ramai antara mereka telah membantah, dan mereka telah mengadakan demontrasi aman di Sibu Kebanyakan daripada mereka ini telah menganggur, dan ada yang menjadi gelandangan.
Bagi mengatasi masalah pengangguran ini pihak kerajaan Brooke telah merangka program untuk mereka. Salah satu program dijalankan adalah usaha membina jalan raya di Bahagian Ketiga. Kebanyakan yang menganggur ini telah diberi peluang untuk bekerja dalam sektor pembinaan ini.
PEMBERONTAKAN
Keadaan lebih teruk berlaku akibat kemelesetan ekonomi ini adalah berlakunya pemberontakan Asun. Pemberontakan ini adalah kesan tidak langsung daripada kemelesetan ekonomi dunia. Harga hasil komoditi seperti getah, lada, sagu dan jelutong yang jatuh memberi kesan kepada sebagaian besar penduduk Iban di Bahagian Ketiga.
Penghulu Asun pula dituduh menghasut, dan hal ini membawa ketegangan antara beliau dengan pihak kerajaan. Situasi ini akhirnya membawa kepada kebangkitan Asun pada 1930. Walaupun kebangkitan ini berjaya digagalkan namun indikasinya menunjukkan bahawa masalah global mempunyai kesan besar kepada masyarakat tempatan.
Paparan ringkas tentang kemelesetan ekonomi dunia dan kesan kepada Sarawak ini memaklumkan kepada kita bahawa perubahan ekonomi dunia terutama dari Amerika Syarikat akan memberi implikasi kepada kita sama ada baik atau buruk.
Kita hari ini juga terkesan daripada masalah ekonomi di Amerika Syarikat. Oleh itu perlu ada usaha alternatif bagi mengatasi masalah ini agar kesan negatifnya dapat diminimakan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.