
SHAH ALAM: Bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 31, kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, tiga tahun lepas.
Peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Zaim Ikhwan, berkata hal ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lepas.
“Pihak pendakwaan memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa mereka telah memfailkan Notis Penarikan Balik Rayuan pagi ini dan tidak ingin meneruskan rayuan tersebut… Hakim Mahkamah Tinggi seterusnya membatalkan rayuan pihak pendakwa raya,” katanya ketika dihubungi.
Prosiding di hadapan Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali manakala Zaim Ikhwan diwakili Haresh dan peguam Ramzani Idris.
Pada 21 Julai lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan ibu kepada Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan sama.
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12.00 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Pada 31 Oktober lepas, Syahliza mendapati Ismanira, 31, bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu dihantar ke Penjara Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – Bernama