
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu Rabu ini berhubung kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
“Ya, mereka yang akan dituduh berumur bawah 18 tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata remaja terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
“Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan bahawa tindakan menuduh suspek juga tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM.
Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan kes itu yang melibatkan tiga elemen iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual telah diserahkan kepada AGC selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.
Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di Sabah menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.
Koroner Azreena Aziz turut menetapkan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan untuk pendengaran inkues berkenaan.
Pada 12 Ogos lepas, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes tersebut.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.
-Bernama