SIBU: Pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap penyanyi lagu Bujang Sarawak, Baby Shima, 30 Disember lalu.
Mel Maxpherson Munded, 35, yang mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern, dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara dua bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dibebaskan setelah membayar denda tersebut.
Ketika ditanya oleh majistret mengapa tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata ugutan itu terhadap Baby Shima dalam media sosial, tertuduh memberitahu beliau tidak sedar dengan apa yang dilakukan kerana di bawah pengaruh alkohol.
Mel dalam rayuannya, merayu dikenakan hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya, selain memberitahu telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Tertuduh dalam rayuan turut memberitahu dia perlu menjaga ibunya yang telah tua serta perlu menyara keluarganya.
Berdasarkan pertuduhan, Mel didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Baby Shima atau nama sebenar Nor Ashimah Ramli, dengan ugutan hendak membunuhnya pada 30 Disember 2024, jam lebih kurang 11 malam di lobi hotel Jalan Lanang.
Sehubungan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika pengadu berada di lobi hotel, beliau telah terbaca komen daripada tertuduh yang berbunyi ‘Lagi U Masuk Sarawak. Hati Hati Your Enemy M U Sudah. Jangan Pulang Melaya Dengan Mayat Saja. Take Care Baby Shima.’
Pada 31 Disember 2024, kira-kira jam 9.15 malam, bertempat di Balai Polis Kota Sentosa, pihak polis telah menahan tertuduh untuk membantu siasatan.
Siasatan mendapati ketika kejadian, pengadu berada di lobi hotel dan datang ke Sibu kerana ada tugas di Sibu Jaya. Pengadu dimaklumkan oleh pengurusnya berhubung komen berbau ugutan di media sosial milik pengadu.
Komen tersebut telah membuat pengadu berasa takut dan tidak selamat ketika berada di Sibu.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Siti Mariyah Dahari.
Oleh AKUN GIMAN