

MIRI: Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri menerima dua laporan berhubung kes penipuan projek dan tawaran pekerjaan tidak wujud, kelmarin.
Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Miri.
Katanya, mengenai kes pertama, ia melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan Majlis Perbandaran Sri Aman.
Mangsa yang tertipu merupakan perempuan warga tempatan, seorang kontraktor berumur 40-an menerima tempahan V500 Gnss Receiver Hi-Target sebanyak dua unit daripada pegawai yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Majlis Daerah Sri Aman.
“Individu tersebut telah meminta mangsa membuat tempahan dengan Syarikat M. N. Seven Trading.
“Walaubagaimanapun, ejen syarikat tersebut gagal dihubungi selepas pengadu membuat tempahan tersebut.
“Majlis Perbandaran Sri Aman telah mengesahkan bahawa mereka tidak membuat tempahan tersebut.
“Pengadu mengalami kerugian sebanyak RM66,000.00,” katanya.
Dalam kes berasingan, suspek telah menyamar sebagai kakitangan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak (KPKT), menipu lelaki warga tempatan yang merupakan ahli perniagaan berumur 30-an.
Katanya, individu tersebut telah meminta mangsa membuat tempahan dengan Syarikat M.N. Seven Trading / Blue Triangle Solution.
“Walaubagaimanapun, ejen syarikat tersebut tidak dapat dihubungi setelah mangsa
membuat bayaran dan KPKT turut mengesahkan tidak pernah menerima tempahan tersebut.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM89,100.00,” jelasnya.
Bagi kes kedua iaitu penipuan pekerjaan, mangsa perempuan warga tempatan merupakan Pengarah Syarikat berumur 40-an menerima tawaran pekerjaan dalam talian melalui WhatsApp dan berminat untuk menyertai tawaran tersebut.
Katanya, mangsa dijanjikan pulangan komisen sebanyak 10 hingga 20 peratus daripada setiap tugasan yang diberikan.
“Mangsa telah membuat tempahan bilik hotel dan melakukan beberapa transaksi pindahan wang namun tidak menerima komisen seperti yang dijanjikan.
“Pengadu telah mengalami kerugian sebanyak RM78, 823.00,” jelasnya lagi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan dengan sebat juga denda jika disabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta mencari maklumat yang sahih sebelum mengambil keputusan untuk mempercayai iklan.
Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menjadi mangsa penipuan siber.
OLEH ADUM LIU