Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Kes tikam pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicara
  • MAHKAMAH

Kes tikam pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicara

Utusan Sarawak 3 hours ago
Foto fail BERNAMA

PETALING JAYA: Kes seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.

Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja berusia 15 tahun itu berkata pemindahan kes dibuat selepas pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes ini dipindahkan dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan. Pihak pendakwaan telah menilai bukti dan percaya ia mencukupi untuk pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh diteruskan,” katanya ketika dihubungi media selepas prosiding tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal hari ini.

Foong berkata tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam masih belum diperoleh dan perbicaraan akan diteruskan sebaik pihak pembelaan mengetahui hakim yang akan mengendalikan kes tersebut.

Pada 16 Januari lepas, Mahkamah Majistret diberitahu laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan. Remaja terbabit didakwa membunuh rakan sekolahnya antara 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan untuk tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri seperti mana diperuntukkan di bawah Seksyen 97 (2) akta sama. – Bernama

Continue Reading

Previous: Zara Qairina dituduh mencuri oleh rakan sekelas, guru larang tuduh tanpa bukti
Next: Edar syabu: Buruh dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun berserta 12 sebatan di Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.