
KUALA LUMPUR: Kejayaan berterusan yang dilakar Malaysia di mahkamah antarabangsa berhubung tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah merupakan pengiktirafan undang-undang terhadap kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Kemenangan besar negara dalam pertikaian itu turut menutup satu episod yang pada awalnya menimbulkan kebimbangan mengenai percubaan menyalahgunakan proses timbang tara antarabangsa.
Pengerusi Majlis Peguam Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir dalam tuntutan itu memberikan kejelasan undang-undang dan mengukuhkan prinsip asas bahawa bidang kuasa yang sah merupakan teras kepada mana-mana prosiding timbang tara.
Beliau berkata keputusan itu juga menunjukkan bahawa mekanisme perundangan antarabangsa berfungsi dengan berkesan bagi mengekang percubaan bertindak di luar skop atau melampaui batas dalam proses timbang tara.
“Majlis Peguam mengiktiraf usaha berterusan kerajaan dan pasukan perundangan negara dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia melalui saluran kehakiman yang betul,” kata Presiden Badan Peguam itu ketika dihubungi Bernama.
Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 berjumlah USD14.9 bilion kepada penuntut Sulu itu.
Mahkamah itu juga mengarahkan penuntut Sulu membayar kos berjumlah €200,000 kepada Malaysia.
War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada Selasa lepas, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi semalam.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan Partial Award pada 6 Jun 2023, dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan itu pada 6 November 2024.
Berkongsi pandangan sama, bekas Presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata penghakiman Mahkamah Rayuan Paris itu merupakan satu kejayaan dan pengiktirafan undang-undang terhadap kedaulatan serta kemerdekaan negara.
Beliau berkata keputusan itu, yang berpihak kepada Malaysia, adalah atas beberapa dasar termasuk ketiadaan sebarang Perjanjian Timbang Tara yang mengikat Malaysia dan ini seterusnya telah menafikan bidang kuasa penimbang tara serta keabsahan pelantikan Stampa yang telah dicabar sebelum ini.
“Kemenangan ini menunjukkan bahawa Malaysia dan aset negara kini bebas dari segi undang-undang daripada sebarang gangguan kuasa luar pihak Sulu,” katanya.
Malaysia sebelum ini turut melakar kejayaan bersejarah dalam pertikaian itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan di Perancis serta Mahkamah Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada negara.
Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara agresif membuat tuntutan balas terhadap penuntut Sulu itu.
Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu – yang kini telah pupus – memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut pampasan bernilai berbilion ringgit daripada Malaysia berhubung isu Sabah.
Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu dan beliau kemudian mengeluarkan Award Akhir tersebut.- Bernama