SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes seorang lelaki yang didakwa dipukul sekumpulan individu di Sibu baru-baru ini dan mengesan semua pihak yang terlibat.
Beliau berkata, siasatan tidak seharusnya terhenti dengan penahanan empat suspek setakat ini, sebaliknya maklumat dan keterangan yang diperoleh daripada mereka perlu digunakan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit.
“Jika terdapat 20 atau 30 individu yang terlibat, mengapa hanya tiga atau empat orang ditahan? Polis sepatutnya dapat mengenal pasti yang lain berdasarkan keterangan mereka yang telah ditahan.
“Jika siasatan tidak dapat menemukan sebarang petunjuk lanjut, maka ada sesuatu yang tidak kena,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu bekata, beliau menerima kebimbangan daripada orang ramai berhubung beberapa insiden keganasan di Sibu kebelakangan ini, termasuk persoalan mengenai tahap keselamatan di bandar itu.
Katanya, orang ramai mahu polis menyiasat kes berkenaan hingga ke akar umbi, mengenal pasti semua yang terlibat serta menentukan keadaan sebenar kejadian supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan undang-undang dipelihara.
Beliau turut menggesa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), khususnya Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), meningkatkan pemantauan terhadap kegiatan kongsi gelap, kumpulan samseng serta aktiviti haram berkaitan di Sibu.
Katanya, operasi penguatkuasaan dan serbuan perlu dilakukan sekiranya perlu bagi membendung kegiatan berkenaan.
“Cubaan mana-mana anggota kumpulan samseng untuk menunjuk-nunjuk pengaruh atau kuasa mereka tidak boleh dipandang ringan. Polis, khususnya D7, perlu mengetahui kumpulan serta anggota mereka dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Tiong juga menggesa mana-mana individu yang terbabit dalam insiden itu supaya tampil menyerah diri kepada polis dan bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing daripada menunggu ditahan atau cuba melarikan diri.
“Jika anda melakukan kesalahan, tampil dan serah diri. Kita adalah sebuah negara yang diperintah berlandaskan undang-undang.
“Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dan apa yang dikatakan sebagai ‘undang-undang dunia bawah tanah’ atau pengaruh kumpulan samseng tidak boleh sesekali dibenarkan menggantikan undang-undang negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas terhadap kegiatan kongsi gelap dan samseng penting bagi memastikan Sibu kekal sebagai bandar yang selamat dan stabil untuk didiami serta menjalankan kegiatan ekonomi.
Oleh Akun Giman




