SARATOK: Kes kehamilan remaja di Sarawak menunjukkan penurunan 11.5 peratus pada 2025, namun usaha pencegahan dan pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan golongan muda mendapat bimbingan serta maklumat yang tepat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) amat penting dan tepat pada masanya dalam membentuk remaja yang berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab.
Menurut beliau, pelajar bukan sahaja perlu dilengkapi ilmu pengetahuan, malah perlu dibimbing dari segi sikap, nilai dan keterampilan diri supaya mampu menghindari pengaruh serta gejala sosial negatif.

“Dalam usaha menangani isu kehamilan remaja, kerajaan Sarawak menetapkan sasaran penurunan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding tahun sebelumnya.
“Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), sebanyak 1,770 kes remaja hamil direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, iaitu 6.6 peratus daripada jumlah kes baharu antenatal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Peringkat Bahagian Betong 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok, semalam.
Mohamad Duri berkata, Sarawak pada 2025 mencatatkan penurunan kes remaja hamil sebanyak 11.5 peratus, sekali gus melepasi sasaran penurunan sekurang-kurangnya 10 peratus yang ditetapkan kerajaan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian tersebut tidak bermakna usaha boleh dihentikan kerana masih terdapat beberapa trend yang memerlukan perhatian berterusan, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko ialah Bau, Samarahan, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Meradong, Sibu, Bukit Mabong, Belaga, Telang Usan dan Limbang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin meningkat daripada 63.6 peratus pada 2024 kepada 70.2 peratus pada 2025, manakala peratusan remaja hamil yang tidak bersekolah meningkat daripada 94.6 peratus kepada 95 peratus dalam tempoh yang sama.
Katanya, sebanyak 62.9 peratus kes pada 2025 melibatkan remaja berumur 18 hingga 19 tahun, iaitu fasa penting peralihan daripada alam remaja kepada alam dewasa yang masih memerlukan bimbingan dan sokongan.

Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata, sepanjang sembilan tahun dari 2016 hingga 2025, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), bersama ahli One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC), telah melaksanakan 83 siri Program KAPS di sekolah menengah dan empat siri di sekolah rendah di seluruh Sarawak.
“Usaha tersebut turut menyumbang kepada penurunan kes remaja hamil yang masih bersekolah daripada 142 kes pada 2016 kepada 63 kes pada 2025, bersamaan penurunan 55.6 peratus,” katanya.
Beliau berkata, Program KAPS akan diteruskan di sekolah menengah dan rendah, selain diperluaskan ke peringkat komuniti menerusi KAPS Komuniti yang menyasarkan ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), remaja serta kanak-kanak, termasuk mereka yang berada di luar institusi pendidikan formal.
Menurutnya, pendidikan berkaitan kesihatan seksual tidak seharusnya dianggap sebagai perkara tabu kerana remaja memerlukan maklumat yang tepat, sesuai dengan usia dan disampaikan melalui sumber yang dipercayai.
“Jika mereka tidak mendapat maklumat yang betul daripada ibu bapa, guru atau sumber dipercayai, mereka mungkin mencari jawapan daripada sumber lain yang belum tentu tepat atau selamat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan remaja lelaki dalam usaha pencegahan supaya mereka memahami tanggungjawab, nilai hormat terhadap wanita serta tingkah laku yang selaras dengan adat dan undang-undang.
Dalam masa sama, Mohamad Duri menggesa ibu bapa membina komunikasi terbuka dan selamat dengan anak-anak supaya mereka lebih selesa mendapatkan panduan apabila berdepan persoalan atau situasi yang membimbangkan.
Katanya, masyarakat juga perlu mengelakkan stigma terhadap remaja yang berdepan kehamilan dan sebaliknya membantu mereka mendapatkan sokongan, perlindungan serta perkhidmatan daripada agensi berkaitan.
“Kehamilan melibatkan penglibatan kedua-dua pihak dan tanggungjawab terhadap pencegahan serta akibat sesuatu perbuatan perlu difahami oleh lelaki dan perempuan.
“Jika remaja perempuan menjadi mangsa paksaan atau rogol, keutamaan kita mestilah kepada keselamatan, perlindungan dan sokongan kepada mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran KAPS bukan bertujuan menggalakkan kegiatan seksual, sebaliknya membantu remaja memahami tubuh badan, mengenali batasan diri, memahami risiko serta membuat keputusan yang bertanggungjawab.
“Usaha membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti dan remaja sendiri mempunyai peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap ilmu, kesedaran dan panduan yang diperoleh sepanjang program itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru dan ibu bapa bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat serta menyokong perkembangan generasi muda di Sarawak.
Oleh Adi Safarman



