
SEOUL, Korea Selatan: Kes pertama penyakit kuku dan mulut (FMD) dalam tempoh sembilan bulan disahkan di sebuah ladang lembu di Incheon hari ini, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik pihak berkuasa.
Kes itu dilaporkan di daerah Ganghwa, menyebabkan pihak berkuasa menaikkan tahap amaran daripada ‘perhatian’ kepada ‘serius’ di Incheon dan bandar berdekatan, Gimpo, menurut ibu pejabat pusat kerajaan bagi tindak balas FMD.
Pakar kuarantin dan epidemiologi telah dihantar ke ladang terjejas bagi membantu menghentikan penularan penyakit itu, manakala 246 lembu di ladang tersebut akan dimusnahkan mengikut prosedur berkaitan.
FMD ialah penyakit virus akut yang menjangkiti haiwan berkuku belah seperti lembu, babi, kambing dan lain-lain. Ia tidak memberi kesan kepada manusia.
Kerajaan berkata ia telah mengeluarkan arahan henti sementara selama 48 jam terhadap pekerja dan kenderaan yang mempunyai akses ke ladang serta kemudahan berkaitan ternakan lain di Incheon dan Wilayah Gyeonggi.
Hampir 40 peralatan pembasmi kuman akan digunakan untuk membersihkan ladang dan jalan berdekatan di Incheon dan Gimpo.
Pasukan tindak balas FMD mengadakan mesyuarat kemudian pada hari sama untuk membincangkan wabak itu dan langkah kuarantin yang sesuai.
Pasukan itu memutuskan untuk menjalankan vaksinasi kecemasan dan ujian klinikal ke atas 92,000 haiwan di 1,008 ladang di Incheon dan Gimpo sehingga 8 Februari.
Sekiranya kes disahkan, pakar kawalan penyakit akan dihantar ke ladang terjejas untuk memusnahkan dan menanam ternakan serta mengambil langkah lain yang perlu.
Kali terakhir FMD disahkan di negara itu ialah pada April tahun lepas.
-Bernama