Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kes penalti Petronas: Orang ramai digesa hormati proses kehakiman
  • TEMPATAN

Kes penalti Petronas: Orang ramai digesa hormati proses kehakiman

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan Biro Wanita Saberkas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Batu 12, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada proses kehakiman dan tidak membuat sebarang andaian berhubung kes penalti berjumlah RM120 juta yang melibatkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kes berkenaan masih dalam pertimbangan mahkamah dan sebarang komen awam yang tidak berasas boleh menjejaskan kelancaran proses perundangan.

Menurut beliau, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati sepenuhnya bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan tanpa tekanan atau campur tangan luar.

RAKAM KENANGAN… Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bergambar kenangan bersama yang lain pada majlis penyampaian sumbangan Biro Wanita Saberkas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Batu 12, hari ini.

“Biarlah mahkamah meneliti dan membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang. Keputusan itu nanti akan menentukan tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan Biro Wanita Saberkas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Batu 12, di sini, hari ini.

Kes tersebut membabitkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad, iaitu Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd, yang didakwa beroperasi tanpa lesen sah di Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Difahamkan, sebanyak lapan notis kesalahan telah dikeluarkan dengan setiap entiti dikenakan penalti RM15 juta, walaupun ordinan berkenaan membenarkan denda maksimum sehingga RM20 juta bagi setiap kes.

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menerima cenderamata daripada Biro Wanita Saberkas.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 2 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes selepas mendapati wujud beberapa isu yang memerlukan penghujahan lanjut.

Mengulas hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah menegaskan ia kekal kukuh meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam isu tertentu.

“Perbezaan pendirian adalah perkara biasa dalam pentadbiran. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak terus mengamalkan pendekatan rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan mahkamah kelak bukan sahaja memberi kesan dari sudut kewangan, malah menjadi penanda aras penting terhadap tadbir urus undang-undang serta keyakinan pelabur di negeri ini.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Bahagian Penguatkuasa JTS dijenamakan semula sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral
Next: Sarawak sedia tingkat eksport babi hidup ke Selangor

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.