KUCHING: Jumlah pemandu mabuk menunjukkan peningkatan sebanyak 19.9 peratus atau 27 kes tahun ini yang mana majoriti pesalah adalah lelaki.
Daripada jumlah yang ditangkap tahun ini, enam adalah wanita manakala 157 adalah lelaki.
Ketua Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan, Superintenden Alexson Chabu berkata, dari 1 Januari hingga 30 September tahun ini, sebanyak 163 pemandu ditangkap di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagi tempoh yang sama tahun lepas, seramai 136 pemandu mabuk, empat daripadanya wanita ditangkap dan semua pesalah mengaku salah dan dikenakan hukuman.
Tahun ini, pihak polis menjalankan 122 operasi dari Januari hingga September.
Daripada yang ditangkap, 148 didakwa di mahkamah dengan semua pesalah mengaku salah dan terdapat sebahagian masih lagi menunggu untuk didakwa.
Kerajaan mencadangkan hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan supaya penjualan arak diharamkan sama sekali.
Staistik dari pembentangan Kementerian Pengangkutan menunjukkan mereka yang mati akibat memandu mabuk meningkat dari 2014 hingga 2017 tetapi ia bukan merupakan faktor utama kematian di jalan raya.
Pada 2014, terdapat 93 kes kematian yang direkodkan, 229 kes kematian (2015), 237 kes kematian (2016), 58 kes kematian (2017) dan 54 kes kematian (2018).
Pengarah Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dipetik dalam berita berkata, sejumlah 3,992 pengguna jalan ditangkap kerana memandu mabuk dari 2018 hingga Mei tahun ini dan 2018 mencatat 1,589 tangkapan, 1,581 (2019) dan 822 (Januari-Mei tahun ini).
Sejak Disember 2017, pengharaman jualan arak kepada mereka di bawah umur juga dinaikkan kepada 21 tahun dari 18 tahun dan kedai yang menjual arak mesti mengasingkan jualan arak dengan barangan jualan makanan yang lain selain dari label amaran perlu diletak.
Pindaan undang-undang
Tahun ini, Perdana Menteri dan Menteri pengangkutan berkata, undang-undang berkenaan dengan memandu mabuk akan diperketatkan lagi di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu.
Pindaan yang dibuat akan memberi fokus kepada penalti dan hukuman untuk pemanduan secara cuai dan mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pindaan untuk memandu di bawah pengaruh arak dan dadah di bawah Seksyen 44 yang mengakibatkan kematian akan menyebabkan pesalah dipenjarakan dari 10 dan 15 tahun dan denda sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 serta penggantungan lesen sekurang-kurangnnya 10 tahun.
Pesalah kali kedua dan seterusnya akan dipenjarakan antara 15 dan 20 tahun dan didenda RM100,000 hingga RM150,000 dengan lesen digantung untuk 20 tahun.
Bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalanraya lain, pesalah kali pertama akan dipenjarakan dari tujuh hingga 10 tahun, didenda RM30,000 hingga RM50,000 dan penggantungan lesen selama tujuh tahun atau lebih.
Pesalah kali kedua pula akan dipenjara selama 10 hingga 15 tahun dan didenda RM50,000 hingga RM100,000 dan lesen digantung selama 10 tahun.
Alexson berkata, walaupun undang-undang belum lagi dilaksanakan, beliau menggesa individu yang meminum akkohol supaya tidak memandu dan dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan teksi atau mendapatkan bantuan kawan yang tidak mengambil alkohol untuk membawa mereka pulang.
Memandu mabuk bukan merupakan faktor utama kemalangan yang menyebabkan kematian di Sarawak sebaliknya, penunggang motosikal yang maut adalah yang paling banyak dan faktor utama adalah kecuaian serta memecut.
Oleh Connie Chieng