
KOTA SAMARAHAN: Polis sedang menyiasat satu kes pecah rumah yang berlaku di Taman Muara Tuang Park, Kota Samarahan selepas menerima laporan daripada seorang pengadu, semalam.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Supt Damataries Lautin berkata, pengadu berusia 22 tahun pulang ke rumahnya di Lorong Punan 5 sekitar 4.30 petang dan mendapati pintu belakang rumah dalam keadaan terbuka. Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan miliknya telah hilang.
Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah sebuah speaker Yamaha, tong gas jenama Petros, tabung duit syiling serta sepasang kasut Slazenger. Anggaran kerugian keseluruhan berjumlah kira-kira RM1,005.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk dengan menmbuka pagar besi dan merosakkan tombol pintu belakang. Pintu hadapan tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya.
Beliau menambah, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah tersebut dan jiran juga tidak mendengar atau melihat kejadian. Bagaimanapun, pasukan siasatan berjaya mendapatkan dua cap jari yang akan dihantar untuk analisis.
Damataries berkata, pegawai penyiasat telah diarahkan mendapatkan maklumat risikan di bawah OP Pintu. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.