Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Kes Muhyiddin: RM5 juta masuk akaun bersatu – Pegawai bank
  • MAHKAMAH

Kes Muhyiddin: RM5 juta masuk akaun bersatu – Pegawai bank

Utusan Sarawak 7 hours ago
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hadir bagi pendengaran kes pertuduhan penyalahgunaan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta serta menerima RM200 juta hasil aktiviti haram di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dua pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa wang berjumlah RM5 juta telah dimasukkan ke akaun milik parti politik Bersatu.

Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku Herdayanti Md Hasan, 44, berkata wang berjumlah RM2 juta, RM1 juta, RM500,000 dan RM500,000 telah dikeluarkan melalui cek atas nama ahli perniagaan Datuk Azman Yusoff pada 24 September 2021 dan 3 November 2022 sebelum dimasukkan ke akaun itu.

“Dokumen ini merupakan penyata Bank CIMB milik Azman Yusoff dan berdasarkan penyata bank ini, saya sahkan terdapat pengeluaran wang daripada akaun milik ahli perniagaan itu,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, saksi pendakwaan ketujuh itu turut mengesahkan borang permohonan pembukaan akaun peribadi Azman.

Bagaimanapun, ketika disoal peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin sama ada beliau mengetahui tujuan cek itu dikeluarkan, Herdayanti menjawab tidak pasti.

Beliau juga bersetuju bahawa semua pembayaran akan melibatkan rekod bank yang mengeluarkan cek tersebut kepada akaun penerima.

Amer Hamzah: Oleh itu, apa-apa pembayaran melalui cek adalah satu pembayaran yang telus dan ada rekod.

Herdayanti: Ya, setuju.

Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning Alfian Othman, 57, berkata pada 21 Februari 2022, syarikat Nepturis Sdn Bhd telah membuat transaksi RM1 juta melalui cek.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata cek bertarikh 16 Februari 2022 tersebut dilunaskan pada 21 Februari 2022 kepada Bersatu.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa cek yang dikeluarkan oleh Nepturis itu bukan untuk Muhyiddin sebaliknya kepada Bersatu, dan pembayaran telah direkodkan selain telus serta tiada apa-apa yang diselindungi.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 28 April.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Ugut ibu: Lelaki dipenjara dua tahun di Daro
Next: Kes Zara Qairina: Lebih 70GB data diekstrak, perbualan WhatsApp cecah 90,000 muka surat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.