
SIBU: Satu kes demam malaria dikesan di kawasan perumahan Townvilla B, Sibu Jaya pada 13 Jun lepas, menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu akan melaksanakan aktiviti Pengesanan Kes Aktif (ACD) bagi mengesan kehadiran parasit malaria dalam kalangan penduduk setempat.
Aktiviti itu akan dijalankan esok dan lusa dari pukul 5 petang hingga 8 malam, membabitkan pengambilan sampel darah menerusi ujian ‘Blood Film for Malaria Parasite’ (BFMP).
Dr Teh berkata langkah itu adalah wajib dan akan diteruskan sehingga selesai bagi mengekang penularan penyakit berkenaan. Beliau meminta penduduk memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan yang akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
“Mereka diminta menyediakan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan, sijil lahir atau pasport, dan membenarkan pengambilan slaid darah oleh petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya keutamaan akan diberikan kepada individu yang mengalami simptom seperti demam dan menggigil.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu di talian 084-315494. – Bernama