
BINTULU: Sebanyak 512 kes kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mac tahun ini di daerah ini, meningkat 96 kes berbanding 416 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, peningkatan itu menunjukkan trend membimbangkan khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Menurutnya, daripada jumlah itu, dua kes melibatkan kemalangan maut.

“Peningkatan kes kemalangan ini amat membimbangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya pengguna jalan raya untuk lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Kempen Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di Simpang Jepak, Jalan Bintulu-Tatau, hari ini.
Tambahnya, susulan peningkatan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu akan mempergiat pelaksanaan Op Selamat 26 selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac ini.
Antara lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan ialah Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Tanjung Kidurong.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk mendaftar di bawah program Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan pihak polis meningkatkan rondaan di kawasan perumahan sepanjang musim perayaan, khususnya melibatkan rumah yang ditinggalkan.
Selain itu, Nixon turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan diselenggara sebelum memulakan perjalanan serta memandu secara berhemah dan mematuhi had laju ditetapkan.
“Pemandu juga boleh berhenti berehat di tempat selamat sekiranya mengantuk bagi mengelakkan risiko kemalangan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih