KUCHING: Sebanyak 355 kes kemalangan jalan raya
direkodkan di negeri ini dalam Op Selamat ke-19 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (gambar) berkata, pihaknya telah menjalankan satu operasi khas bermula 18 Januari iaitu selama 10 hari dan akan berakhir Jumaat ini.
“Setakat hari ketujuh pelaksanaan Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023, Sarawak telah merekodkan sebanyak 355 kes kemalangan jalan raya.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan iaitu daripada 288 kes pada Op Selamat 17/2022 kepada sejumlah 355 kes kemalangan jalan raya pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 67 kes atau bersamaan 23.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, dari segi jumlah kes kemalangan maut pula, sebanyak tujuh kes dicatatkan sepanjang tempoh tujuh hari pelaksanaan Op Selamat 19/2023 berbanding dua kes pada Op Selamat 17/2022 iaitu meningkat lima kes atau 250.0 peratus.
“ Sementara itu, jumlah kematian juga telah meningkat sebanyak lima kematian atau bersamaan dengan 250.0 peratus iaitu dari dua kematian pada Op Selamat 17/2022 kepada tujuh kematian pada Op Selamat 19/2023,” katanya.
Dari segi kecederaan pengguna kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut pula, pengguna motokar iaitu pemandu dan penumpang motokar adalah golongan yang paling ramai terkorban dengan jumlah seramai tiga orang atau 42.8 peratus dari jumlah keseluruhan iaitu seramai tujuh orang yang terkorban.
“Ini diikuti oleh pengguna motosikal iaitu seorang atau 14.3 peratus, pengguna lori juga seorang dan dua orang lagi melibatkan pejalan kaki iaitu kes langgar lari yang berlaku di daerah Serian dan daerah Saratok,” katanya.
Sepanjang tempoh tujuh hari Op Selamat 19/2023 dijalankan, kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Bandaran menunjukkan peningkatan ketara dengan merekodkan sejumlah 155 kes atau 43.7 peratus, Jalan Negeri sebanyak 95 kes atau 26.8 peratus, Jalan Persekutan sebanyak 72 kes atau 20.3 peratus dan lain-lain jalan sebanyak 33 kes atau 9.3 peratus.
“Antara punca peningkatan jumlah kemalangan yang berlaku bagi tempoh tujuh hari Op Selamat 19/2023 ini adalah kerana kelalaian pemandu kenderaan sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik semasa memandu.
“Ini adalah faktor manusia iaitu perlakuan seperti memandu melebihi had laju sehingga terbabas, bertembung depan dengan depan dan langgar belakang,” katanya.
Di samping itu juga, kecuaian semasa memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat juga menjadi punca sehingga berlakunya kemalangan.
Faktor lain adalah faktor jalan seperti jalan berlubang dan selekoh tajam.
“Analisis menunjukkan kebanyakan kemalangan khususnya kemalangan maut sendiri berlaku semasa melalui selekoh dan terbabas akibat jalan licin terutamanya selepas hujan.
“Selain itu, faktor mekanikal kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan jalanraya,” katanya.
Sejumlah 4,614 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di sepanjang tempoh tujuh hari Op Selamat 19/2023 dijalankan.
Sehubungan itu, pihak PDRM ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mematuhi arahan anggota penguatkuasa yang bertugas di jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan ini.
Oleh NUR AIN OTSMAN