ASAJAYA, 8 Oktober: Sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan di Sarawak sepanjang 2025, menunjukkan penurunan sebanyak 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerajaan Sarawak untuk mengurangkan kes kehamilan remaja sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), kes kehamilan remaja menyumbang 6.6 peratus daripada keseluruhan kes baharu antenatal yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Alhamdulillah, pada tahun 2025, Sarawak telah mencatatkan penurunan kes remaja hamil sebanyak 11.5 peratus, sekali gus mencapai dan melepasi sasaran KPI Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan bilangan kes remaja hamil sekurang-kurangnya 10 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Demikian menurut teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, pada majlis perasmian Penangguhan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Bahagian Samarahan 2026 di Dewan Panca Delima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajjah Laila Taib, di sini, hari ini.
Karim berkata, sebanyak 11 daerah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, iaitu Bau, Samarahan, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Meradong, Sibu, Bukit Mabong, Belaga, Telang Usan dan Limbang.

Beliau berkata, peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin turut meningkat daripada 63.6 peratus pada 2024 kepada 70.2 peratus pada 2025, manakala peratusan remaja hamil yang tidak bersekolah meningkat daripada 94.6 kepada 95 peratus.
Menurutnya, tinjauan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) mendapati lebih 80 peratus remaja memperoleh maklumat mengenai seks dan pencegahannya daripada rakan serta internet berbanding ibu bapa, doktor atau guru.
“Penemuan tersebut menunjukkan bahawa anak-anak kita memerlukan maklumat yang tepat, bimbingan yang sesuai dan ruang yang selamat untuk bertanya.

“Jika mereka tidak mendapat maklumat yang betul daripada ibu bapa, guru atau sumber yang dipercayai, mereka akan mencari jawapan daripada sumber lain yang belum tentu tepat atau selamat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memperkukuh pendidikan seksual serta membimbing remaja menghindari tingkah laku berisiko.
Beliau turut berharap ilmu dan kesedaran yang diperoleh melalui KAPS 2026 dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru serta ibu bapa dalam kehidupan seharian.
Oleh Norman B





