BINTANGOR: Statistik kes kebakaran rumah panjang di Sarawak dari Januari hingga Julai 2024 menunjukkan penurunan berbanding pada tempoh sama pada 2023, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Katanya, dari Januari hingga Julai 2024, sebanyak 10 kes direkodkan, turun sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah pintu yang terlibat juga berkurang sebanyak 54 peratus, daripada 208 pintu pada 2023 kepada 93 pintu pada 2024.
“Dari segi kerugian, nilai menurun secara signifikan sebanyak 86.6 peratus, daripada RM54.4 juta pada 2023 kepada RM7.2 juta pada 2024,” katanya.
Koung Hiing berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran bersama Bomba dan Penyelamat Bintangor bertempat di Rumah Caroline Insat, Bukit Tinggi Ulu Strass, hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran Kelab Belia Bukit Tinggi Ulu Strass dan Biro Wanita Bukit Tinggi dengan kerjasama JKKK Bukit Tinggi.
Katanya, penurunan ini mencerminkan kejayaan program-program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sama ada secara langsung atau melalui kerjasama dengan agensi lain dan masyarakat.
“Kebakaran rumah panjang sukar dibendung kerana penyebaran api yang cepat, menyebabkan kerugian besar kepada penduduk.
“Oleh itu, program kesedaran keselamatan kebakaran seperti ini penting untuk memastikan keselamatan rumah panjang, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong,” katanya.
Tambahnya, JBPM bertanggungjawab memadam kebakaran, tetapi memastikan keselamatan keluarga dan isi rumah adalah tanggungjawab penghuni rumah sendiri.
“Ilmu pencegahan kebakaran amat penting bagi setiap individu untuk mengurangkan risiko dan memadamkan api di peringkat awal, seterusnya menyelamatkan ahli keluarga.
“Ini sangat relevan bagi penempatan rumah panjang yang berisiko tinggi. Keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama, dan kesedaran serta latihan berterusan memastikan kita lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, program kesedaran keselamatan kebakaran bertujuan memberi pengetahuan asas menghadapi kebakaran dan meningkatkan kesedaran tentang langkah pencegahan awal.
“Setiap individu perlu dilatih untuk mengenal pasti risiko kebakaran serta bertindak cepat dan berkesan.
“Dalam era pembangunan pesat, cabaran keselamatan semakin meningkat, tetapi dengan ilmu yang tepat, kita dapat mencegah kebakaran.
“Program ini juga memberi peluang mempelajari penggunaan alat pemadam api dan mengenal pasti sumber bahaya, dengan harapan peserta dapat berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan keluarga dan rakan,” katanya.
Koung Hiing juga berharap agar program tersebut dapat memberi impak yang positif kepada semua peserta.
“Semoga peserta dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperoleh dalam meningkatkan tahap keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” tambahnya.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin dan Tuai Rumah Caroline Insat.
Oleh Earl Anek