
SARIKEI: Kes jenayah di Daerah Meradong bagi tempoh Januari hingga Julai 2025 menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering.
Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan keberkesanan kawalan keselamatan dan usaha pencegahan jenayah yang dijalankan oleh IPD Meradong.
“Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan setempat, malah memperkukuhkan imej positif pihak polis,” katanya.
Tansli berkata demikian semasa kunjungan hormat bersama pegawai-pegawai Ibu Pejabat Daerah (IPD) Meradong kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, semalam.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, di samping membincangkan situasi keselamatan daerah Meradong serta keperluan prasarana polis di kawasan Meradong.
Selain itu, beberapa isu berkaitan keselamatan jalan raya turut dibangkitkan semasa kunjungan tersebut.
Ia termasuk ketiadaan lampu jalan, papan tanda panduan, tanda U-turn dan garisan berkembar kuning di Lebuh Raya Pan Borneo.
Katanya, kekurangan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, malah berpotensi menyebabkan kemalangan.
Turut hadir Ketua Bahagian Pengurusan IPD Meradong, ASP Jonathan Nyanga Laga; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Meradong, ASP Masitah Arbi dan Pegawai Kanan Trafik IPD Meradong, Inspektor Mohd Zainal Abdul Ghafar,
Oleh Earl Anek