
BAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A Rahman berkata, tangkapan dibuat pada 24 Mac antara jam 6.00 petang hingga 9.00 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama unit lain.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin. Mereka kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kedua-dua suspek berumur 55 dan 25 tahun itu merupakan buruh tempatan serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Hasil siasatan awal mendapati mereka mengaku kali terakhir mengambil dadah jenis syabu kira-kira dua hari sebelum ditahan.
Tiada sebarang dadah atau barangan lain dirampas dalam operasi tersebut.
Mohd Haide berkata kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi siasatan lanjut.
Oleh Connie Chieng