Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kes dera kanak-kanak 11 tahun di Saratok bukti keperluan tindakan pantas, kata Nancy
  • TEMPATAN

Kes dera kanak-kanak 11 tahun di Saratok bukti keperluan tindakan pantas, kata Nancy

Utusan Sarawak 5 hours ago
 DATO Sri Nancy Shukri ketika ditemui pemberita pada Pameran dan Majlis Penutup Program Kepimpinan Belia Warisan Dayung di Old Court House, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Saratok yang dianiaya ibu angkatnya baru-baru ini membuktikan kepentingan perlindungan segera serta kesedaran masyarakat untuk bertindak melaporkan keganasan terhadap kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata mangsa kini berada di bawah perlindungan pihak berkuasa dan sedang menerima rawatan di hospital, manakala siasatan kes berkenaan telah dijalankan oleh polis.

“Pelindung kita sudah bersama mangsa di hospital dan mangsa tidak dibenarkan menerima sebarang lawatan. Kes ini juga sudah berada dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui media pada Pameran dan Majlis Penutup Program Kepimpinan Belia Warisan Dayung di Old Court House, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mangsa.

“Letakkan diri kita di tempat mangsa. Bayangkan jika kita didera atau dipukul, bagaimana perasaan kita. Sebab itu, jangan mudah menghukum atau menyebarkan cerita,” katanya.

Nancy turut menegaskan bahawa usaha pendidikan dan kesedaran berhubung penderaan kanak-kanak terus diperkasakan, termasuk melalui program advokasi di sekolah dan komuniti, bagi memastikan kanak-kanak tahu cara mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, talian kecemasan 15999 telah banyak membantu mangsa untuk bertindak sendiri, termasuk kanak-kanak yang berani tampil melaporkan penderaan.

“Walaupun kita tidak suka melihat kanak-kanak didera, tetapi saya berasa lega apabila melihat mereka sudah tahu untuk melindungi diri, termasuk menghubungi 15999. Ini menunjukkan kesedaran itu sudah meningkat,” katanya.

Menurut beliau, jumlah laporan yang diterima melalui saluran berkenaan menunjukkan peningkatan ketara, dipercayai hasil usaha pendidikan berterusan yang dijalankan di sekolah dan pusat aktiviti komuniti.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy turut menyentuh kepentingan memperkasa wanita agar tidak terlalu bergantung kepada orang lain, termasuk dalam aspek ekonomi, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

“Kita mahu wanita berdikari, tahu bagaimana menjana pendapatan dan memonetisasi apa yang ada di sekeliling mereka. Apabila wanita kuat dan berdaya saing, keluarga dan negara juga akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, polis menahan seorang wanita berusia 47 tahun selepas disyaki menganiaya anak angkatnya di Taman Kim Hin, Saratok.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang guru pada Sabtu lalu.

Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras dan ditampar, selain mengalami lebam serta kecederaan tisu lembut, sebelum dibawa ke Hospital Saratok dan dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

Suspek telah ditahan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, berhubung pengisian jawatan Ketua Pengarah Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK), Nancy berkata proses pelantikan mengambil masa kerana melibatkan keperluan pindaan undang-undang berkaitan.

Menurut beliau, perjawatan lain dalam JPKK telah diisi bagi memastikan operasi jabatan berjalan lancar, manakala jawatan tersebut kini dipangku oleh Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Dr Sopian Brahim, sementara menunggu pelantikan Ketua Pengarah secara rasmi.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Subsidi RM40,000 perkasa peniaga Bazar Ramadan DUN Nangka
Next: Program Dayung Warisan perkasa wanita jadi pemimpin warisan budaya – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.