PUTRAJAYA: Jumlah kes denggi pada minggu epidemiologi (ME) kedua tahun ini (ME2/23) iaitu dari 8 hingga 14 Januari meningkat sebanyak 301 kes atau 13.6 peratus kepada 2,520 kes berbanding 2,219 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME2/23.
Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga minggu kedua 2023 adalah 4,739 kes berbanding 1,429 kes dalam tempoh sama pada 2022 iaitu meningkat sebanyak 231.6 peratus, dengan dua kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh sama pada 2022.
Katanya, 67 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME2/23 berbanding 69 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya, melibatkan 40 lokaliti di Negeri Selangor, 15 lokaliti di Sabah, enam di Pulau Pinang, lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu lokaliti di Perak.
Sementara itu survelan chikungunya merekodkan 11 kes pada ME2/23 dengan lima kes di Pulau Pinang, tiga kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak serta Negeri Sembilan; dan jumlah kumulatif kes chikugunya sehingga kini adalah 36 kes.
“Bagi survelan zika, 46 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” kata Dr Noor Hisham. – Bernama