
KUCHING: Kes jenayah di Sarawak menunjukkan penurunan ketara tahun ini apabila sebanyak 3,925 kes direkodkan dari Januari hingga Oktober 2025, berbanding 4,307 kes dalam tempoh sama tahun lalu, susut 382 kes atau hampir sembilan peratus.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata penurunan itu hasil kerjasama pelbagai pihak serta usaha berterusan pasukan polis dalam mengekang jenayah di seluruh negeri.
“Saya percaya usaha berterusan dan sokongan semua pihak telah membantu menurunkan kes-kes jenayah di Sarawak,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jenayah komersial menunjukkan peningkatan ketara, selaras dengan perkembangan taktik penipuan yang semakin canggih dan menyasarkan mangsa melalui pelbagai helah digital.
Mohamad Zainal menegaskan PDRM tetap komited menyiasat setiap laporan dan pada masa sama, mempergiatkan usaha memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
“Kita mahu masyarakat sentiasa berwaspada. Penipu sentiasa mencari mangsa baharu, sebab itu kita perlu tingkatkan kesedaran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kes-kes berkaitan dadah menunjukkan peningkatan, namun angka itu bukan disebabkan lebih ramai terlibat dalam penyalahgunaan, tetapi kerana operasi agresif dan berterusan yang dijalankan polis setiap hari.
“Saya telah mengarahkan semua daerah untuk menggempur habis-habisan pengedar dan pengguna dadah. Peningkatan tangkapan bukan bermakna lebih ramai terlibat, tetapi kerana operasi kita semakin kuat,” katanya.
Menurutnya, pendekatan baharu termasuk penggunaan peruntukan SOSMA terhadap pengedar tegar perlu dilaksanakan bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah secara menyeluruh.
Mohamad Zainal turut mengulangi amanat yang disampaikan Ketua Polis Negara agar semua warga PDRM terus bekerja dengan integriti tinggi, berpegang kepada amanah, dan memenuhi harapan rakyat yang mahukan pasukan polis yang bersih dan tegas.
“Ketua Polis Negara menekankan kepentingan pengukuhan integriti dalaman, pemantauan berterusan dan budaya pematuhan. Ini menjadi teras ketelusan dalam organisasi,” katanya.
Beliau berkata PDRM Sarawak akan terus mendukung aspirasi kepimpinan tertinggi demi memastikan keselamatan negeri kekal terpelihara.
Oleh SHAHRUL QAIZAT