
Zakwan Mokhtar menggunakan baju penjara diiringi oleh polis di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.
PETRA JAYA: Mahkamah Majistret Kuching hari ini menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pemandu e-hailing yang didakwa membunuh Nurul Asikin Lan, 28, pada Disember lalu.
Tarikh itu ditetapkan oleh Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali selepas Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Hung Hwei, memaklumkan bahawa laporan DNA dan bedah siasat berhubung pembunuhan kejam mangsa masih belum disediakan.
Zakwan Mokhtar, 24, yang memakai baju penjara hari ini, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga akan dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Sementara itu, lebih 20 ahli keluarga dan rakan Nurul Asikin hadir untuk mengikuti perkembangan dan keputusan kes tersebut.
Terdahulu, Zakwan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuching pada 24 Disember lalu, atas pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kehilangan Nurul Asikin.
Dia membuat laporan di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur, sebagai penafian kerana bimbang akan keselamatannya sebelum dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Dalam pada itu, Nurul Asikin dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama suspek.
Pada 14 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Tabuan Jaya, milik Nurul Asikin Lan.
Lelaki berusia 23 tahun iaitu suspek utama yang ditahan pada 14 Disember lalu, membawa polis ke lokasi pembunuhan dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, suspek mengaku terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan saingan Malaysia-Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja sebagai motif pembunuhan.
Katanya, suspek mengaku mengambil barang kemas yang digunakan oleh mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
Barangan kemas itu digadai sebagai perbelanjaan suspek yang ingin menyaksikan perlawanan bola sepak itu di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal